SEORANG wanita dari China mencuri perhatian ramai apabila memilih kerjaya luar biasa dengan membela puluhan ribu ular berbisa sehingga mampu menjana pendapatan lebih 1 juta Yuan (RM580,308) setahun.Wanita dari Guilin di wilayah Guangxi yang dikenali sebagai Qin dilaporkan kembali ke kampung halamannya selepas menamatkan pengajian di universiti bagi membantu bapanya menguruskan ladang ular milik keluarga. Qin mengendalikan lebih 60,000 ekor reptilia termasuk lebih 50,000 ular lima langkah (five-step snake) yang merupakan spesies ular kapak (Deinagkistrodon acutus) sangat berbisa serta hampir 10,000 ekor ular tedung.Menurut Qin, bapanya pada peringkat awal tidak bersetuju dengan keputusannya menceburi bidang tersebut kerana menganggap ia terlalu berbahaya.Namun, apabila ladang semakin berkembang dan sukar untuk bapanya menguruskan seorang diri, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membantu."Ular lima langkah perlu diberi makan secara paksa dengan makanan yang disediakan, dan sentuhan rapat dengan spesies ini tetap berisiko tinggi."Saya sebenarnya tidak begitu takut dengan ular lima langkah. Ayah saya sudah menternaknya sejak sebelum saya lahir," katanya kepada Haibao News.Qin menjana pendapatan lumayan dengan menjual reptilia.Menurutnya, pelbagai bahagian ular mempunyai nilai dalam perubatan tradisional seperti ular kering, hempedu dan minyak ular, manakala bisanya digunakan dalam penyelidikan perubatan moden.Katanya, setiap ular lima langkah boleh menghasilkan bisa sebanyak dua kali sebulan.Harga bisa ular pula dijual antara 40 hingga 200 Yuan (kira-kira RM23 hingga RM116) bagi setiap gram bergantung kepada kualiti.Selain itu, daging ular dijual antara 200 hingga 300 Yuan (kira-kira RM116 hingga RM174) seekor, manakala spesies yang lebih besar boleh mencecah lebih 1,000 Yuan (RM580).Selepas menolak kos buruh dan perbelanjaan lain, perniagaan tersebut mampu menjana pendapatan tahunan melebihi 1 juta Yuan.Dalam masa sama, Qin turut berkongsi pengalaman serta ilmu penternakan ular di media sosial menggunakan nama 'The Girl Who Collects Snake Venom', dengan jumlah pengikut melebihi 22,000 orang."Kalau ada penternak ular kata mereka tidak takut dipatuk, hanya satu kemungkinan bahawa mereka belum pernah kena patuk. Kesakitan akibat patukan ular lima langkah amat luar biasa dan sukar dilupakan."Anda mungkin fikir jika dipatuk di tangan, hanya tangan yang sakit. Tapi sebenarnya seluruh lengan, bahu malah separuh badan boleh terasa sakit."Ada pengikut saya pernah kata kesakitannya terlalu teruk sampai sanggup dipotong anggota daripada mengalaminya lagi," ujarnya.