suria

Mayat Dua Lelaki Ditemui Terapung Di Sungai Kulim

BUKIT MERTAJAM: Mayat dua lelaki dipercayai warga asing ditemui terapung dalam Sungai Kulim, di Kampung Tun Sardon di sini, Khamis.

Polis menerima panggilan pada kira-kira 5 petang oleh seorang penduduk kampung yang memaklumkan pihak berkuasa mengenai mayat berkenaan.

"Lelaki itu melalui kawasan sungai berkenaan dan ternampak satu bungkusan kain berwarna biru terapung di permukaan sungai. Beliau melihat lebih dekat sebelum ternampak ia (bungkusan) menyerupai bentuk manusia.

"Pemeriksaan polis mendapati dalam bungkusan itu ada mayat seorang lelaki. Bagaimanapun, tiada sebarang identiti ditemui bersamanya," kata jurucakap polis di sini, Khamis.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, polis mendapat maklumat daripada orang awam bahawa mayat seorang lelaki lagi ditemui kira-kira empat kilometer daripada mayat pertama di sungai sama.

Mayat itu ditemui dalam keadaan bogel dan terapung.

"Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada kedua-dua mayat berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Jurucakap polis itu berkata kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau kenalan supaya membuat laporan polis.
mayat, Sungai Kulim

Artikel Lain