suria

MH17: Belum Ada Pelawaan Malaysia Sertai Siasatan

Anggota pasukan siasatan Belanda memerhatikan kerja-kerja mengumpul serpihan pesawat MH17.

KUALA LUMPUR: Malaysia belum terlibat dalam siasatan jenayah berhubung insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh walaupun pasukan penyiasat yang diketuai Lembaga Keselamatan Belanda sudah memulakan operasi.

Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib berkata, Malaysia tidak dijemput secara rasmi menyertai Pasukan Siasatan Bersama (JIT).

Malaysia pada masa ini hanya menjadi sebahagian daripada pasukan siasatan teknikal MH17.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ketika lawatannya ke Malaysia pada 5 November lalu berkata Malaysia wajar diberikan peranan yang lebih penting dalam siasatan insiden berkenaan.

Ini disebabkan oleh bilangan yang ramai rakyat Malaysia yang terkorban dan MH17 adalah pesawat dari negara ini.

Menurut Fauziah, antara isu yang timbul ialah Belanda juga perlu berbincang dengan kerajaan Ukraine dan Australia.

"Perdana Menteri Belanda tidak boleh buat keputusan sendirian. Beliau juga perlu mendapatkan persetujuan daripada Australia dan Ukraine, "kata Fauziah.

Tambah Fauziah, Malaysia tidak dijemput untuk menyertai operasi mengumpul bukti di lokasi nahas mungkin kerana ia masih tidak selamat.

Sementara itu Duta Besar Malaysia ke Ukraine, Chuah Teong Ban percaya Malaysia tidak akan dibenarkan untuk memeriksa serpihan itu melainkan jika negara ini menjadi sebahagian daripada pasukan siasatan jenayah tersebut.

Penerbangan MH17 bersama 298 penumpang dan anak kapalnya ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine yang bergolak ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai tahun ini.

Artikel Lain