suria

MCA Gesa Perwakilan Umno Berhati-Hati Ketika Berbahas

PETALING JAYA: Perwakilan Umno digesa supaya tidak beretorik dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia ketika perhimpunan agung parti itu minggu depan.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kenyataan negatif sebelum ini ternyata memberi kesan terhadap Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

"Perhimpunan Agung Umno diikuti secara meluas bukan sahaja oleh orang Melayu. Jadi kenyataan yang menyinggung perasaan bukan hanya memberi kesan kepada Umno tapi juga kepada parti komponen BN kerana kami dilihat bersekutu dan menyokong Umno, " katanya pada Isnin.

Ti berkata demikian bagi mengulas laporan berita sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang memetik Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin apabila mengingatkan ahli Umno supaya tidak keterlaluan ketika menyampaikan ucapan mereka.

Badruddin meminta perwakilan supaya lebih sederhana dalam menyampaikan mesej mereka.

Ti berkata, sikap perwakilan Umno yang menyasarkan masyarakat Cina ketika perhimpunannya sebelum ini mewujudkan kebencian politik kepada BN.

"Kumpulan majoriti senyap di Malaysia kini menolak sikap tidak bertanggungjawab ahli-ahli politik khususnya bagi yang gemar mengeluarkan kenyataan politik yang tidak masuk akal," katanya.

Selain itu Ti bagaimanapun menegaskan bahawa peringatannya itu bukanlah satu gangguan terhadap hak ahli Umno untuk berbahas.

"Tapi harus diingat bahawa apa sahaja yang mereka katakan atau lakukan akan memberi kesan kepada MCA kerana hakikatnya adalah kita berada dalam BN.

"BN mewakili semua rakyat Malaysia. Ia adalah gabungan parti politik yang mewakili masyarakat yang berbilang agama dan kaum," katanya.

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini.

Artikel Lain