suria

Pokok Sekitar KL Jadi Mangsa Vandelisme

Tindakan girdel menghalang nutrien daripada sampai ke kawasan dibawah kulit yang dikeluarkan termasuk akar sehingga menyebabkan pokok tersebut mati secara perlahan-lahan.

KIRA-KIRA 200 hingga 300 pokok sama ada dirosakkan atau sengaja dimusnahkan sejak lebih dua tahun lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendedahkan jumlah besar pokok yang menjadi mangsa perbuatan vandelisme.

Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL, Mustafa Mohd Nor menganggarkan separuh daripada pokok tersebut terletak di kawasan terbuka.

"Ada juga yang ditanam di kawasan perumahan, manakala ada sebilangannya ditanam di sepanjang beberapa laluan utama seperti Jalan Kuching, Sri Petaling, Pantai Dalam, Taman Connaught, Salak Selatan, Bangsar dan Jalan Syed Putra.

"Kaedah yang biasa digunakan untuk memusnahkan pokok-pokok tersebut adalah girdel dimana kulit kayu pokok itu dikeluarkan," katanya.

Menurut Mustafa, tindakan girdel menghalang nutrien daripada sampai ke kawasan bawah kulit pokok yang dikeluarkan termasuk akar sehingga menyebabkan pokok tersebut mati secara perlahan-lahan.

Beliau berkata, terdapat juga kes racun disimbah ke atas empulur pokok menerusi lubang yang telah digerudi.

Katanya, perbuatan vandalisme berlaku kerana pihak tidak bertanggungjawab mahu menghapuskan pokok-pokok tersebut dan pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang melakukan perbuatan itu.

"Kami menerima aduan dan permohonan untuk mengalihkan pokok tersebut tetapi apabila kami melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut, kami sering mendapati terdapat beberapa sebab tidak munasabah seperti daun kering mengotorkan keadaan sekitar atau menghalang pemandangan," katanya.


Keadaan pokok yang hampir mati di bulatan Sungai Besi.

Beliau berkata, pokok yang menghalang papan tanda jalan raya akan ditebang dan jabatan berkaitan tidak akan menebang pokok tersebut melainkan ia menyebakan masalah ketara, termasuk menjejaskan kemudahan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki atau longkang.

"DBKL mensasarkan 11 meter persegi kawasan lapang atau kawasan hijau bagi setiap individu yang tinggal di bandar raya ini.

"Sasaran ini dicapai menerusi gabungan penggunaan tanah milik swasta dan awam. Ruang ini juga tidak bermakna ia boleh diakses orang ramai.

"Antara langkah yang kami harapkan untuk mencapai sasaran ini adalah melalui perancangan seperti pelan penanaman dalam setiap kawasan baharu dan jumlah tertentu ruang perlu diperuntukkan sebagai kawasan lapang atau hijau," katanya.

Beliau berkata, sasaran DBKL untuk memperuntukkan 14 meter persegi bagi setiap penduduk menjelang 2020, manakala standard antarabangsa adalah 16 meter persegi bagi setiap penduduk.

Jelasnya, walaupun pihak berkuasa tempatan berusaha untuk memenuhi sasaran tersebut selaras dengan dasar-dasar kerajaan, penanaman pokok memainkan peranan penting di sekitar bandar raya.

"Ia membantu kita menyerap haba dan karbon yang semakin meningkat di bandar raya. Pokok juga mencantikkan pemandangan landskap," katanya.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Bandar Hijau dan Ekologi di Singapura menunjukkan pokok bersaiz besar adalah lebih efektif untuk persekitaran yang sihat.

pokok, laku musnah, DBKL

Artikel Lain