suria

Cromok dan Barbarik bergabung di Konsert Black On White, kumpulan pertama guna konsep ‘No Noise Digital Stage’

Cromok dan Barbarik menjanjikan persembahan bertenaga buat peminat setia.

DUA kumpulan legenda, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas dalam konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive, 3 Damansara, Petaling Jaya.

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya dianggap sebagai pertemuan dua generasi muzik yang berkongsi semangat dalam dunia rock dan metal.

Menurut gitaris Barbarik, Jo Branko, konsert tersebut membawa makna besar bukan sahaja kepada kumpulan terlibat, malah kepada para peminat setia mereka.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik bakal berlangsung pada 27 Jun ini.

"Ini bukan sekadar konsert biasa. Konsert ini menjadi pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza. 

"Kami mahu beri pengalaman yang luar biasa buat peminat agar konsert ini menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. 

"Peminat akan nampak sisi berbeza daripada kami, termasuk kolaborasi yang mungkin mereka tidak pernah bayangkan sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kemasukan bekas ahli Wings dalam Barbarik berlaku secara spontan” - JoBranko

ARTIKEL BERKAITAN: Lirik ‘double meaning’ memalukan, JoBranko jaga jati diri Melayu... Dangdut bukan lesen buat lagu lucah

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan konsert ini sebagai satu evolusi dalam persembahan muzik tempatan, khususnya dari segi penggunaan teknologi.  

“Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya menerusi pendekatan No Noise Digital Stage, menjadikan kami satu-satunya kumpulan di Malaysia yang mempersembahkan persembahan secara 100 peratus digital.  

“Tiada penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas, hanya satu mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan.

“Penggunaan teknologi digital ini membolehkan pemantauan audio yang lebih jelas, sekali gus meningkatkan kualiti persembahan, menghasilkan bunyi yang lebih bersih dan memberikan pengalaman yang jauh lebih baik kepada para penonton,” ujarnya. 

Jo Branko (tiga dari kanan) menganggap konsert ini sebagai makna besar buat peminat Barbarik dan Cromok.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 sehingga RM998.

Tiket konsert boleh didapati di laman web MyArteez dan Fantopia. 

Konsert Black On White Cromok-Barbarik disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain