suria

SPRM Periksa Prosedur Projek Khas Perumahan Nelayan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Unit Pemeriksaan dan Perundingan Negeri akan melakukan pemeriksaan ke atas sistem dan prosedur yang diguna pakai dalam Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Terengganu.

Pengarah Bahagian Siasatannya, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata ia merupakan salah satu langkah untuk mengatasi masalah ketirisan projek tersebut yang gagal sampai kepada kumpulan sasaran.

"Isu ketirisan ini membawa kesan negatif kerana selain mengakibatkan ketirisan bantuan kerajaan yang disalur kepada rakyat, ia juga memberi imej negatif kepada agensi yang terlibat dalam pengagihan bantuan tersebut," katanya pada sidang media di pejabat SPRM, di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap beberapa kes tuntutan palsu dalam projek tersebut di Terengganu termasuk kesalahan menggunakan bahan binaan tidak berkualiti, kerja baik pulih tertangguh, tidak mengikut spesifikasi dan kontraktor menyerahkan kerja kepada pihak tiada kepakaran.

Menurutnya melalui 'Ops Ombak' sejak Mac lalu pihaknya mengesan beberapa kontraktor dilantik cuba menyeleweng bantuan PKPN di Terengganu yang disalur kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu sebanyak RM100 juta setahun untuk tempoh tiga tahun untuk seluruh negara. 

Mohd Jamidan berkata peruntukan RM9,500 untuk sebuah rumah nelayan untuk kerja baik pulih seperti menukar atap, dinding dan lantai didapati tidak setara dengan kos baik pulih yang dituntut oleh pihak kontraktor.

"Susulan daripada operasi itu (Ops Ombak) pegawai dari ibu pejabat dan SPRM Terengganu telah melakukan tangkapan ke atas 23 orang kontraktor semalam (di Dungun) dan hari ini (Isnin) telah dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Dungun untuk pertuduhan kes," katanya.

Beliau berkata bantuan PKPN melibatkan kira-kira 15,000 nelayan seluruh negara yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu pembaikan rumah, pembinaan rumah baharu dan penempatan semula nelayan. 

Ditanya adakah kes yang serupa turut berlaku di negeri lain, beliau berkata setakat ini belum ada lagi laporan kes seperti di Terengganu yang dilaporkan kepada SPRM.

Melakukan tuntutan palsu merupakan satu kesalahan dan mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM dan jika sabit kesalahan boleh didenda lima kali ganda daripada nilai tuntutan dan maksimum 20 tahun penjara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain