suria

Kementerian Cadang Beri 'Visa Fee Free' Bagi Pelancong China

Mohamed Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang memperkenalkan konsep visa percuma atau 'Visa Fee Free' (VFF) khusus untuk pelancong dari China dalam usaha mencapai sasaran 29.4 juta pelancong pada tahun hadapan. 

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beberapa negara Asean seperti Thailand dan Indonesia telahpun melaksanakan VFF dan ia terbukti mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara berkenaan.

"Thailand telah lakukan ini pada 2013, apabila Thailand hapuskan fi untuk visa, jumlah pelancong telah meningkat daripada 2.5 juta kepada 4 juta manakala Indonesia pula minggu lepas umum laksanakan VFF kepada pelancong China," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Katanya sehingga ke hari ini, enam buah negara Asean telahpun melaksanakan konsep tersebut dan Malaysia sendiri sepatutnya mengikuti konsep tersebut dan beliau yakin ia tidak akan menjejaskan keselamatan negara. 

Beliau berkata cadangan itu telahpun dikemukakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Mesyuarat Kabinet Pelancongan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada 11 Ogos lalu manakala 17 September lepas, satu mesyuarat susulan telah diadakan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen berhubung perkara ini. 

Mohamed Nazri berkata kerajaan perlu melaksanakan VFF bagi memudahkan kedatangan pelancong China ke negara ini memandangkan berlakunya penurunan ketibaan pelancong dari negara itu berikutan insiden pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. 

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu sedang dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai bersemadi.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata penganjuran Malaysia Year of Festival 2015 (MyFest) akan membantu menyumbang kepada sasaran kementerian untuk mencapai kedatangan seramai 29.4 juta pelancong tahun depan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Selasa.


VFF, China, Mohamed Nazri Abdul Aziz

Artikel Berikut

Artikel Lain