suria

Cuepacs: Kerajaan Perlu Serius Naikkan Elaun Risiko Penguat Kuasa

Azih Muda

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Isnin mengulangi permintaannya supaya kerajaan secara serius menimbangkan kenaikan elaun risiko bagi anggota penguat kuasa.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana anggota penguat kuasa menghadapi tekanan hidup berikutan pendapatan yang rendah selain kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ada dalam kalangan agensi penguatkuasaan cuma dibayar RM200 untuk elaun risiko. Malah ada agensi yang tidak membayar langsung walhal mereka berdepan pelbagai ugutan, termasuk bunuh, ketika menjalankan tugas penguatkuasaan hingga menjejaskan keselamatan diri sendiri dan keluarga.

"Justeru itu, kita sekali lagi memohon kerajaan dan pihak berwajib ambil perhatian dengan menaikkan bayaran itu kepada RM500 hingga RM800 sebulan. Secara tidak langsung ia akan meringankan beban kewangan anggota terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Cuepacs sebelum ini dilaporkan telah meminta kerajaan menimbangkan kenaikan elaun risiko bagi tujuh badan penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek pula dilaporkan sebagai berkata kementerian akan mengusulkan kepada Kabinet untuk menaikkan elaun penguat kuasa kementerian daripada RM200 sekarang.

Azih berkata selain menghargai pengorbanan anggota-anggota penguatkuasaan, kenaikan elaun risiko itu juga akan membantu meningkatkan semangat menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Penambahbaikan ini juga sekali gus mampu mengelakkan perbuatan rasuah sesuatu aktiviti atau operasi penguatkuasaan dijalankan.

"Sesetengah anggota penguat kuasa pada mulanya cuma berjinak-jinak mengambil rasuah ... mula-mula hanya mencuba dan mengambil sedikit, lama-lama menjadi amalan buruk dan tabiat kerana kos sara hidup, kurangnya pendidikan agama, dan kelemahan integriti yang telah dihidu pihak berkepentingan yang pantas mengambil kesempatan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain