suria

Henti Sebar Khabar Angin, Kata Vivian Kepada Alvin

TINGGAL KENANGAN... Vivian dan Alvin kini tidak lagi berkomunikasi antara satu sama lain.

PETALING JAYA: Penulis blog kontroversi, Alvin Tan mendakwa bekas teman wanitanya, Vivian Lee menawarkan perkhidmatan teman sosial (escort).

Tan yang lari dari jaminan untuk mencari suaka politik di Amerika Syarikat membuat dakwaan tersebut dalam Facebooknya pada Khamis.

"Jadi sumber saya memberitahu Vivian kini menjadi seorang escort. Mengeluh... #SMH (menggelengkan kepala)," kata Tan, yang kini berada di Los Angeles.

Apabila pengguna Facebook, Desmond Chiew bertanya adakah sumber tersebut adalah pelanggan Lee, Tan berkata 'lebih kurang begitu' tetapi terus merahsiakan pemberi maklumat itu.

Seorang lagi pengguna laman media sosial itu, Owayne Khoo bertanya sama ada ini bermaksud berakhirnya rancangan bual bicara mereka, Alvivi, seperti mana yang diakui bekas teman wanitanya.

"Itu adalah bahagian kesukaan saya dalam pengembaraan Alvivi. Tidak hanya sekadar unsur luncar, tumpuan media dan parti seks.

"Bagaimanapun, saya tidak berkomunikasi dengan Vivian lagi," kata Tan.

Salah seorang pengguna Internet, Keith Liew turut tidak menolak kemungkinan bahawa iklan perkhidmatan teman sosial mungkin dipalsukan untuk menjatuhkan Lee yang dilaporkan bekerja di sebuah pejabat.

Sementara itu, menerusi laman Facebooknya, Lee bagaimanapun membidas dakwaan yang dilemparkan Tan kepada dirinya.

Lee mempertikaikan kesahihan maklumat dari sumber bekas teman lelakinya itu dan mengecam pengguna Internet yang percaya dengan dakwaan kononnya dia memperincikan bayaran perkhidmatan teman sosial yang ditawarkannya.

Alvin dan Vivian yang dikenali sebagai pasangan Alvivi menjadi perhatian ekoran blog seks mereka yang kini tidak lagi berfungsi menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Penapisan Filem dan Akta Hasutan kerana 'ucapan Ramadan' yang tidak sensitif yang disiarkan di blog mereka pada tahun lepas.

Alvin dan Vivian Lee didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers mengikut Akta Hasutan 1948.

Mengikut pertuduhan, ia mengandungi gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!)' yang mengandungi logo halal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 dan 12 Julai tahun lalu di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, di sini.

Alvin gagal untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kesnya pada Ogos lalu.

Tindakan itu menyebabkan mahkamah bersetuju untuk melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 daripada RM30,000.

Alvin mengejutkan ramai pihak apabila memuat naik entri terbaharu di laman Facebooknya pada 26 September lalu dengan memaklumkan dia kini berada di Los Angeles, California.

Vivian Lee, Alvin Tan, Alvivi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JPJ Lelong Kenderaan Bulan Depan

Artikel Lain