suria

Isu Pengambilan Pekerja Asing: Tekam Minta Status Quo Dikembalikan

PUTRAJAYA: Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam) meminta kerajaan mengembalikan 'status quo' kepada seramai 146 syarikat penyumberan luar dalam pengambilan pekerja asing  di negara ini.

Presidennya, Dr Yusof Hashim berkata, pengambilan pekerja baharu menerusi kaedah penyumberan luar tidak dibenarkan sejak 2012 iaitu semasa pelaksanaan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin Pati  atau program 6P.

Malah, katanya, setiap syarikat yang berdaftar dibawah Tekam hanya diberikan kuota pengambilan pekerja asing seramai 500 orang.

"Tiada penambahan dari segi kuota. Setiap satu syarikat hanya diberikan kuota sebanyak 500 pekerja asing. Kita terpaksa meneruskan perniagaan dengan kuota yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis peramsian mesyuarat Agung Tahunan Tekam Ke-4 di Kelab Tasik Putrajaya di sini, Khamis.

Menurutnya, daripada seramai 1.830 juta pekerja asing di negara ini pada 2010, Tekam dibenarkan menguruskan kira-kira 150,000 pekerja asing menerusi penyumberan luar.

"Sekarang hanya tinggal 100,000 pekerja... berlaku penurunan sebanyak 50,000 pekerja," katanya.

Menurut Yusof,  Tekam tidak dijelaskan mengapa kuota pengambilan pekerja asing menerusi syarikat penyumberan luar telah dikurangkan.

Dr Yusof Hashim.

"Masa program 6P pada 2012, kita dimaklumkan pengambilan pekerja asing oleh syarikat outsourcing digantung. Kita tak boleh buat permohonan pengambilan pekerja asing yang baharu.

"Nak kata dimansuhkan pun tak... digantung pun tak... kita digantung tanpa bertali. Jadi kita desak kerajaan untuk mengembalikan status quo asal dengan syarat yang telah ditetapkan. Kita mahukan situasi menang-menang," katanya.

Jelas beliau, pengambilan pekerja asing yang sebelum ini diuruskan oleh Tekam telah dihentikan sehingga menyebabkan wujudnya agensi haram yang membekalkan pekerja tersebut.

"Amalan ini menyebabkan agensi-agensi pengurusan pekerja asing secara haram mula wujud. Mereka berkeliaran sehingga ke pintu masuk industri.

"Sepatutnya kita yang diberi tanggungjawab untuk mengambil dan menguruskan pekerja asing, tapi orang asing pun boleh jadi ejen," katanya.

Beliau berkata, Tekam telah menubuhkan unit risikan dan seranta untuk membanteras agensi haram yang semakin aktif menjalankan proses pengambilan pekerja asing.

"Kita ada angka (jumlah) agensi yang beroperasi secara haram. Jadi kita tubuhkan unit risikan dan seranta yang menjadi mata kepada kerajaan untuk membanteras kegiatan haram ini," katanya.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Sementara itu, Aseh berkata, beliau akan mengatur pertemuan antara ahli jawatankuasa Tekam dengan KDN bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

"Saya tiada kepentingan di dalam Tekam tapi atas kapasiti sebagai bekas Ketua Setiausaha KDN, saya akan membantu menyelesaikan masalah ini.

"Pertemuan itu akan dibuat dalam masa terdekat. Saya yakin Menteri Dalam Negeri bersikap secara terbuka untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain