suria

Kerajaan Kaji Hapus ICP - Ab Aziz

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengkaji untuk menghapuskan pengecualian permit peredaran antarabangsa (ICP) bagi kenderaan dari Thailand yang memasuki Malaysia dalam jarak dua kilometer.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pemansuhan pengecualian yang diamalkan sejak 1993 itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mengawal kemasukan kenderaan asing dengan lebih sistematik.

"Kita cadangkan supaya diadakan penyeragaman soal kemasukan kenderaan asing di semua sempadan negara.

"Untuk mengatasi masalah ini, kita bercadang untuk menghapuskan terus pengecualian ICP dua kilometer di sempadan Kedah, Kelantan dan Perlis, serta tujuh kilometer di Perak," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Ab Aziz, dengan pemansuhan intu, kawalan kemasukan kenderaan asing hanya dibuat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di semua sempadan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengkaji perjanjian kelonggaran antara Malaysia dan Thailand yang ditandatangani pada 1993.

Tambah beliau, kerajaan menyedari  ada teksi daripada negara itu yang mengambil kesempatan terlajak melebihi dua kilometer yang dibenarkan, termasuk ke Kuala Lumpur dan Johor Baharu dan Pulau Pinang.

"Kelonggran ini juga menyebabkan sempadan Malaysia dimasuki sewenang-wenangnya oleh kenderaan Thailand secara tak bertanggungjawab dan tak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kemungkian juga ia digunakan bagi kes penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia," katanya.

Dewan Rakyat, ICP

Artikel Lain