suria

Rekrut Jadi Militan, Ancaman Buat Negara - PAT

KOTA BAHARU: Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria yang kononnya atas nama jihad merupakan satu ancaman buat negara dan ia tidak boleh dibiarkan sama sekali, kata Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata jika perkara itu tidak dibanteras segera, dibimbangi lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.

"Jika mereka bersama kumpulan itu, mereka akan dilatih dari segi militan dan mereka akan punyai semangat setiakawan bersama rakyat negara lain di tempat berjuang itu.

"Tak mustahil mereka ni balik senyap-senyap dan tubuhkan sesuatu, ini perkara nyata dan telah diperakui bahawa kumpulan IS ini lebih dahsyat daripada Al Qaeda," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Summer Camp 11/2014 di Kem Desa Pahlawan di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM Datuk Rusli Ahmad dan Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Zulkifeli berkata isu itu amat serius dan kerajaan sentiasa mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh menyertai kumpulan itu.

Beliau berkata semua pihak jangan memandang mudah perkara itu sebaliknya perlu bersama-sama pihak berkuasa untuk menanganinya.

Katanya jika tidak ditangani apa yang membimbangkan terdapat rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan berkenaan akan mewujudkan kumpulan kecil di negara ini apabila kembali ke tanah air.

"Kumpulan ini mampu mempengaruhi pelajar perempuan tingkatan dua menerusi Internet, apa jihadnya ...kalau membunuh Islam sesama Islam," katanya.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PDRM telah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan seperti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu Negara Islam (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan 'jihad' semasa 'mengumpan' golongan sasaran.

"Ini adalah satu ancaman yang nyata dan rakyat mesti sedar akan ancaman ini seterusnya boleh menjadi mata dan telinga kepada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera," kata Zulkifeli.


ATM, IS, Militan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain