suria

Anggota Polis Dituduh Minta Rasuah

JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis terhadap pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM900, awal tahun ini.

Koperal Roslan Ariffin, 46, yang bertugas di Balai Polis Sri Lalang, Kluang, didakwa meminta RM300, masing-masing daripada Muhammad Haziq Abu Hurairah, Mohamad Nor Akhmal Zulkfli dan Wan Mohamad Iskandar Wan Abdullah, sebagai dorongan melepaskan mereka yang ditahan polis kerana disyaki positif dadah.

Roslan juga didakwa menerima RM300, masing-masing daripada Muhamad Shahrul Fitri Ngadimon sebagai dorongan melepaskan Mohamad Nor Akhmal, daripada Mohamad Nor Akhmal sebagai dorongan melepaskan Muhammad Haziq dan daripada Wan Mohamad Iskandar sebagai dorongan melepaskan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sri Lalang, Kluang antara 4.30 petang dan 11 malam, 1 Jan lepas.

Roslan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Nov untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Rizduan Abd Malik daripada SPRM.


Polis, SPRM, Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain