suria

PAS Pasrah Terpaksa Lepaskan Kerusi Exco

Dr Ahmad Yunus Hairi.
KLANG: PAS 'terpaksa' akur dengan keputusan Pakatan Rakyat yang mengurangkan satu kerusi Exco milik parti itu dalam Kerajaan Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya 'terpaksa' berpuas hati dengan keadaan politik sekarang bagaimanapun apa yang penting adalah pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.

"Dah ada, kita terpaksalah berpuas hati. Bukan terpaksalah, tapi berpuas hatilah dengan yang ada sekarang ni.

"Kita terima dengan baik keputusan menteri besar dan pelantikan ini telah mendapat perkenan Sultan," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah bagi pelantikan Exco Kerajaan Selangor yang baharu di Istana Alam Shah di sini, petang Jumaat.

Jumlah empat Exco kerajaan negeri yang menjadi keistimewaan PAS sebelum ini dikurangkan kepada tiga bagi diberikan kepada wakil PKR.

Berikutan itu, jumlah jawatan exco yang dibahagikan kepada tiga parti Pakatan Rakyat adalah tiga kepada PAS, DAP (3) dan PKR (4).

Beliau dengan nada terkilan berkata, kehilangan satu kerusi PAS dalam kerajaan negeri mungkin ada hikmahnya.

"Saya kira ada hikmahnya, yang penting kita bergerak ke depan. Bagaimanapun kita berharap kerajaan negeri hari ini dapat mentadbir dengan baik.

"Sekurang-kurangnya kesinambungan kebaikan yang telah dilakukan (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dapat diteruskan supaya rakyat mendapat faedahnya," katanya.

Mengenai konsensus Pakatan Rakyat yang menjanjikan kerusi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada PAS, beliau menegaskan jawatan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco.

Dr Ahmad Yunus menjelaskan, sekiranya merujuk ranking jawatan kuasa peringkat negeri, dua calon yang memiliki latar belakang perundangan iaitu Adun Bangi, Shafie Ngah yang juga Timbalan Pesuruhjaya ll PAS negeri, dan Adun Paya Jaras yang juga Setiausaha Pas negeri, Mohd Khairuddin Othman merupakan antara calon berpotensi memegang jawatan itu.

"Sekarang kita ada Shafie, ada Mohd khairuddin... kalau ditawarkan dan layak," katanya.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatannya sebagai timbalan speaker DUN berikutan perlantikannya sebagai salah seorang daripada 10 exco kerajaan negeri yang baharu, dan ia akan digantikan dengan wakil PAS.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain