suria

Pegawai Polis Minta Anggota Sebelum Maut Dalam Serang Hendap

KOTA KINABALU: Mendiang ASP Michael Padel telah memohon beberapa anggota polis dihantar kepadanya, sebelum berlakunya serang hendap yang meragut nyawanya di Semporna pada Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Jumaat.

Pegawai Cawangan Khas (SB) Semporna Inspektor Khairulnizam Husin, 45, berkata Michael, yang merupakan ketua SB Semporna, membuat permintaan itu selepas menghubunginya menerusi telefon bimbit.

Katanya mendiang telah meminta beberapa anggota - daripada pasukan yang ditugaskan untuk menahan seorang suspek berhubung kes pencerobohan di Lahad Datu - dihantar ke lokasi beliau (Michael) di Kampung Sri Jaya, Simunul, semasa operasi menjejaki suspek itu di kampung tersebut.

"Saya bagi tahu dia 'tuan, saya sedang membuat pemeriksaan (di sebuah rumah) dan ada enam tangkapan'.

"Saya kata saya akan hantar anggota (kepada Michael) selepas pemeriksaan selesai," katanya dan menurutnya ketika itu beliau dan pasukannya berada di rumah nombor 19.

Khairulnizam merupakan saksi ke-43 pihak pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, menghadapi pelbagai pertuduhan berkaitan percerobohan oleh kumpulan militan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Antara pertuduhan yang mereka hadapi adalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 12 Feb hingga 10 April tahun lepas.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, pegawai SB itu berkata selepas bercakap dengan Michael menerusi telefon, beliau mengarahkan seorang daripada anggotanya, Sarjan Mohd Mustafa Kamal Ngah untuk mencari Michael supaya pasukannya boleh menyertainya kemudian.

Ishak: Adakah Mohd Mustafa Kamal keluar dari rumah bernombor 19 seperti anda arahkan?

Khairulnizam: Ya

Ishak: Apa berlaku selepas Mohd Mustafa Kamal keluar dari rumah bernombor 19? 

Khairulnizam: Tak berapa lama dia keluar, saya terdengar bunyi tembakan dari sebelah kanan rumah 19 dan bunyi tembakan adalah bertalu-talu dan saya percaya ia daripada senjata berat.

Sebaik mendengar bunyi tembakan yang berlaku kira-kira 7.30 malam, saksi itu berkata beliau mengarahkan semua orang termasuk enam yang ditahan di rumah itu untuk meniarap di lantai.

Beliau juga mengarahkan anggotanya untuk bersiap sedia dengan senjata api masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Khairulnizam memberitahu semasa beliau dan pasukannya berlindung di dalam rumah itu, Mohd Mustafa Kamal kembali dengan pegawai SB Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil yang dalam keadaan lemah.

Beliau berkata terdapat kesan luka dan pendarahan teruk di kepala dan tangan tangan Mohamad Hasnal.

Katanya Supt Ibrahim Lebar, yang cedera parah dengan kesan kelaran di kepala dan terkena tembakan di perut, juga muncul seorang diri di rumah itu tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Khairulnizam berkata beliau dan pasukannya serta enam tahanan itu terus berlindung di dalam rumah itu selama kira-kira 22 jam, sehingga mereka diselamatkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung 7 Oktober.


Kampung Simunul, serang hendap

Artikel Sebelum

Artikel Lain