suria

Hujan Lebat Tetapi Paras Air Di Empangan Sungai Selangor Masih Rendah

KUALA LUMPUR: Selangor sedang mengalami hujan lebat, yang merupakan fenomena biasa bagi tempoh ini setiap tahun, tetapi paras air di empangan Sungai Selangor masih rendah. 

Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan sesetengah badan bukan kerajaan (NGO). 

Mereka tertanya-tanya mengapa paras air empangan masih rendah walaupun hujan lebat berterusan beberapa minggu lepas iaitu hanya merekodkan 34.7 peratus, kira-kira dua peratus lebih tinggi berbanding bacaan bulan lepas 32.03 peratus.

NGO membangkitkan persoalan mengapa paras air setakat 34.7 peratus (bacaan pada 8 pagi ini, 26 Sept) hanya melepasi paras kritikal, sedangkan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan statistik jumlah taburan hujan di Selangor melebihi 200mm sehingga Khamis.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran melahirkan kebimbangan dan berkata pihak berkuasa seharusnya menjalankan kajian bagi memahami perubahan yang berlaku di kawasan tadahan.

"Mengkaji semula fungsi empangan Sungai Selangor adalah sesuatu yang boleh dilakukan; sebenarnya ia harus dilakukan secara berkala bagi empangan utama seperti ini. Corak taburan hujan serta perubahan penggunaan tanah di sekitar kawasan tadahan adalah parameter yang harus dikaji. 

"Perubahan penggunaan tanah memberi kesan kepada keupayaan untuk memenuhkan kawasan tadahan seperti yang berlaku pada banyak empangan di Malaysia. Situasi ini bertambah buruk jika corak taburan hujan tidak boleh diramal," katanya.

Piarapakaran juga berkata susulan kekurangan bekalan air bersih yang dirawat, kebergantungan bagi bekalan air mentah dari empangan Sungai Selangor sentiasa tinggi.

"Apabila hujan, air memasuki empangan perlahan-lahan tetapi apabila tiada hujan beberapa hari, air dari empangan harus dikeluarkan. Sebab itulah paras air empangan tidak meningkat dengan cepat pada masa ini," katanya.

Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAn) Aldric Loong Kim Yew melahirkan kejutan kerana walaupun hujan lebat pada Ogos dan September, paras empangan Sungai Selangor hanya melepasi tahap kritikal. 

"Sepanjang beberapa tahun yang lepas, hujan turun di tempat yang salah, sebab itulah paras air empangan Sungai Selangor tidak meningkat.

"Adakah kerana kita telah memusnahkan alam semula jadi; kita telah menebang banyak pokok dan meratakan bukit. Kerajaan harus menjalankan kajian mengenai taburan hujan dan juga topografi di kawasan tadahan untuk melihat kemungkinan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Empangan Sungai Selangor membekalkan air kepada 60 peratus isi rumah di Lembah Klang dan Putrajaya, dan adalah sukar bagi orang ramai untuk memahami mengapa ia belum mencapai paras selamat iaitu 55 peratus.

Statistik Jabatan Meteorologi menunjukkan purata taburan hujan di Selangor melebihi 200mm sehingga semalam (25 Sept) yang dianggap normal pada musim monsun sekarang.

"Terdapat banyak hujan. Biasanya, semasa musim monsun barat daya, purata taburan hujan antara 150mm dan 250mm. Berdasarkan rekod sehingga Selasa lepas menunjukkan taburan hujan sebanyak 200mm di Selangor.

"Pada awal Oktober, kita akan memasuki tempoh peralihan monsun apabila purata taburan hujan dijangka antara 300mm dan 350mm," kata pegawai meteorologi, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata pada bulan September, imej radar cuaca Jabatan Meteorologi menunjukkan hanya beberapa kali sahaja hujan lebat berlaku di empangan Sungai Selangor dan kawasan tadahan.


S. Piarapakaran, Sungai Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain