Sebarang ubat perlu mendapat preskripsi daripada doktor dan tidak boleh diambil sewenang-wenangnya. -Gambar hiasan AI
SEORANG lelaki berusia 23 tahun ditahan pihak berkuasa selepas mengaku memaksa kekasihnya mengambil ubat menggugurkan kandungan sehingga wanita tersebut meninggal dunia."Saya menyesal. Saya minta maaf kepada keluarga mangsa," ujar lelaki yang berasal dari daerah Polewali Mandar, Sulawesi Barat, Indonesia. Luahan penyesalan itu disampaikannya ketika dia dibawa ke bilik tahanan, pada Jumaat. Seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai NU, 20, turut ditahan atas dakwaan bersubahat.Ketua Polis Polewali Mandar, AKBP Zaky Maghfur berkata kedua-dua suspek disiasat di bawah Pasal 464 ayat (1) dan ayat (2), subsider Pasal 251 Kanun Keseksaan Indonesia (KUHP) berkaitan kesalahan menggugurkan kandungan, dengan ancaman hukuman maksimum lapan tahun penjara."Hasil soal siasat mendapat ubat gugur kandungan tersebut diperoleh daripada suspek kedua (NU)," kata Zaky.Zaky mendedahkan mangsa dan suspek utama pertama kali berkenalan melalui media sosial pada awal Januari tahun ini dan kemudian menjalinkan hubungan percintaan.Selepas mendapati dia hamil pada Mac, mangsa memberitahu suspek utama yang kemudian menyuruh mangsa menggugurkannya," kata Zaky.Ujarnya, suspek utama dan mangsa terputus hubungan buat sementara, sebelum lelaki itu menghubungi kembali mangsa untuk memberikan ubat penggugur kandungan.Pada 23 Ogos, suspek utama membawa mangsa ke sebuah rumah kosong milik rakannya di Matakali, sekitar pukul 11 malam."Mangsa diberi ubat penggugur kandungan melalui mulut, selebihnya ia dimasukkan melalui kemaluan."Mangsa kemudian mengalami kejang, keluar air liur dan meninggal dunia," ujar Zaky.Dalam keadaan panik, suspek hanya menyimpan mayat mangsa di dalam rumah tersebut.Pada awal pagi Rabu (26 Ogos), suspek mahu membuang mayat mangsa selepas jasadnya mula mengeluarkan bau.Suspek membungkus mayat mangsa menggunakan tilam dan dia sempat meminta bantuan penduduk untuk membawa keluar tilam tersebut.Bagaimanapun, penduduk enggan membantu kerana curiga susulan bau busuk daripada 'bungkusan' berkenaan.Zaky berkata, penduduk kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.Polis yang menerima laporan kemudian datang ke lokasi dan mendapati suspek masih cuba membawa keluar mayat mangsa. "Setelah diperiksa, ternyata bungkusan berkenaan mengandungi jasad seorang wanita sarat hamil," ujar Zaky.Menurutnya, bayi dalam kandungan mangsa dianggarkan telah berusia tujuh bulan. Tambah Zaky, mayat mangsa dan bayinya kemudian dibawa ke hospital, manakala kedua-dua suspek kini ditahan di balai polis Polewali Mandar. -Agensi