suria

Anwar Disoal Siasat Mengenai Kenyataan Berbaur Hasutan

Anwar (dua kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Jumaat.
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu polis merakamkan keterangannya berhubung laporan yang dibuat terhadapnya tiga tahun lalu.

Pada waktu itu, beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan mengenai kes liwat keduanya.

Peguam beliau, Latheefa Koya berkata, beberapa pegawai polis dari Balai Polis daerah Ampang Jaya menyoal Anwar sama ada beliau membincangkan mengenai kes liwatnya semasa ceramah di Taman Melawati, Gombak pada 25 Mac 2011.

Satu laporan polis dibuat terhadapnya tiga hari kemudian, dakwa Latheefa.

Anwar berkata, polis membuka semula kes tersebut selepas diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara.

"Tiga yang lain telah dirakam keterangan mereka berhubung kes tersebut iaitu Azmin Ali, Saari Sungib dan Amiruddin Shaari. Pada 2011. Namun, kini mereka mahu membuka semula kes tersebut selepas mendapat arahan dari Putrajaya untuk mengambil keterangan Anwar.

"Kami tidak tahu mengapa mereka mengambil masa yang lama untuk menentukan jika terdapat unsur hasutan.

"Kami tidak tahu apa kepentingan atau agenda disebaliknya melainkan semua ini seolah-olah Anwar menjadi sasaran terbaharu di dalam serangan kes hasutan ini," kata Latheefa kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini Jumaat.

Anwar berkata, beliau melihat siasatan tersebut sebagai cubaan untuk memberi tekanan politik terhadap dirinya.

"Saya terkejut dengan keputusan Peguam Negara mengarahkan polis untuk memanggil dan menyelesaikan siasatan dibawah Akta Hasutan terhadap ucapan yang dibuat pada 2011.

"Sekiranya ia benar-benar kenyataan berunsur hasutan, mereka akan mengambil tindakan segera. Jelas, tindakan tersebut bukan untuk kes ini. Ini bukan sahaja pendakwaan berniat jahat tetapi satu penganiayaan," kata Anwar.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut merupakan satu cara untuk mengganggu beliau, beberapa minggu sebelum rayuannya dalam kes liwat yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Ketika dihubungi, Pejabat Peguam Negara berkata mereka menyedari siasatan kes hasutan terhadap Anwar tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

Mereka berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain