suria

BN 'Underdog', Tapi Ada Asas Kukuh Untuk Menang - Tok Pa

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) bertanya khabar kepada Awang Yusoff, 75, (tiga, kanan) ketika menjalankan kempen bagi PRK DUN N.01 Pengkalan Kubor di Kampung Simpangan.

TUMPAT: Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui BN adalah parti 'underdog' dalam pilihan raya itu.

Katanya, walaupun tidak menjadi 'parti pilihan', beliau yakin BN mempunyai asas yang kukuh untuk memberi saingan, seterusnya mempertahankan kemenangannya di DUN itu sebelum ini.

"Calon kita ada kelebihan, kita yakin dengan calon, dan sambutan terhadap calon kita lebih baik daripada calon PAS, kita berada pada asas yang kukuh.

"Kita tak pernah kata kita yakin menang, kita 'underdog', kena kerja kuat," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak pernah memperkecilkan kemampuan PAS di Kelantan.

Tambah Pengerusi BN negeri ini, parti itu juga sedar dan menjangkakan bahawa pihak lawan akan tampil dengan strategi dan serangan yang lebih hebat selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-60, Sabtu ini.

"Saya tak mahu jentera kita alpa kerana kita jangka akan diserang hebat selepas muktamar.

"Orang PAS ni dia senyap-senyap, malam-malam senyap dia ada kaedah tersendiri (kempen). Jangan kita perlekehkan kekuatan PAS di Kelantan, saya tak pernah perkecilkan tentangan PAS," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana PAS bertindak menyerang peribadi calon BN dalam kempennya.

Beliau bagaimanapun menganggap serangan itu dibuat kerana PAS mengakui kehebatan calon yang ditampilkan BN.

"Seperti mana yang kita sudah jangka, calon kita akan diserang kerana mempunyai latar belakang yang baik, keluarga yang besar, banyak pengalaman dan dia dipilih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita dapati mereka amat gerun dengan kehebatan calon kita yang berkerja kuat...kita jangka mereka akan terus serang peribadi," katanya.

Di sebalik jangkaan serangan tersebut, Mustapa yakin pengundi di Pengkalan Kubor bijak membuat penilaian terhadap fitnah yang ditabur dalam kempennya.

"Tak ada masalah bagi kami. Kita yakin pengundi dapat buat penilaian sewajarnya tentang fitnah yang dibuat oleh penceramah PAS secara terbuka atau senyap," katanya.

Dalam sidang media yang sama Mustapa turut memaklumkan tentang peruntukan kerajaan Persekutuan terhadap Pengkalan Kubor sejak 2004.

Katanya, setakat ini sebanyak RM206 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan bagi memberi kemudahan kepada penduduk di situ.

BN, PAS, Pengkalan Kubor

Artikel Sebelum

Artikel Lain