suria

Istana Selangor Tegur Anwar Buat Kenyataan Kelirukan Rakyat

KLANG: Istana Selangor menegur Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan bahawa mengemukakan hanya satu nama untuk jawatan menteri besar Selangor adalah perkara biasa.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pemilihan calon menteri besar negeri itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor oleh perdana menteri dengan mengemukakan beberapa nama sebelum calon yang disifatkan sesuai untuk dilantik bagi memegang jawatan itu.

"Pada 2008, apabila kerajaan negeri jatuh kepada pembangkang, istana memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin semua parti untuk mencalonkan dua nama bagi jawatan menteri besar.

"Apabila ketiga-tiga pihak sebulat suara mencalonkan Tan Sri Khalid Ibrahim, yang juga memenuhi kriteria yang dinyatakan di bawah perlembagaan Selangor, Sultan bersetuju untuk melantik beliau," kata Munir dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selepas pilihan raya umum 2013, menyaksikan Pakatan Rakyat sekali lagi memerintah negeri itu, Munir berkata, beliau dititahkan oleh Sultan Sharafuddin untuk menulis kepada tiga parti untuk menamakan empat nama bagi jawatan menteri besar. 

Beliau berkata, ini kerana Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa kempen pilihan raya, menyatakan bahawa Khalid mungkin tidak dilantik semula ke jawatan tersebut.

"Walaupun istana tidak menerima calon lain untuk jawatan itu, ketiga-tiga pemimpin parti juga mencalonkan Khalid untuk mentadbir kerajaan buat kali kedua dan memandangkan beliau mempunyai hubungan baik dengan pegawai-pegawai istana, Sultan memutuskan untuk melantiknya lagi," kata kenyataan itu.

Menurut Munir, walaupun ia bukan dasar istana untuk mengeluarkan maklumat tersebut, keadaan sedemikian adalah sebagai penjelasan yang diperlukan untuk menangani kekeliruan yang berlaku.

Beliau turut menggesa Anwar supaya mendapatkan fakta yang betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Dia (Anwar) dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat atau menjejaskan imej Baginda," katanya.

Anwar berkata, amalan mengemukakan hanya satu nama sebagai calon menteri besar telah diikuti sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PKR, DAP Boikot Muktamar PAS?

Artikel Lain