suria

Khalid Samad Sedia Letak Jawatan Jika Sultan Selangor Terus Murka

Khalid Samad
SHAH ALAM: Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad sedia meletak jawatan sebagai wakil rakyat sekiranya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terus murka terhadap beliau berikutan tindakannya mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan supaya ia dihapuskan.


Beliau berkata, perletakan jawatan itu terserah kepada parti sekiranya Sultan Selangor terus murka meskipun setelah beliau memberi penjelasan apabila diperkenan menghadap baginda nanti.

"Jika mereka kata, okay Khalid... kamu kena letak jawatan, untuk kepentingan parti, saya akan letak jawatanlah.

"Bagi saya, saya berada di sini (sebagai wakil rakyat) atas sebab parti. Parti yang melantik saya sebagai calon.

"Selagi mana ia akan mendatangkan kebaikan kepada parti, saya akan terus berkhidmat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya isu kemurkaan Sultan Selangor terhadap beliau menyebabkan tindakan supaya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Khalid bagaimanapun berharap perkara yang berlaku dapat diperjelaskan kepada Sultan Selangor.

"InsyaAllah salah faham dan salah maklumat yang saya syaki punca di sebalik peristiwa ini dapat diatasi," katanya.

Beliau berharap agar Sultan Selangor akan memperkenan beliau menghadap bagi memperjelaskan keadaan.

"Saya sudah tulis (surat) kepada pejabat Sultan dan telah dihantar petang semalam untuk memperjelaskan lebih lanjut lagi. Tunggulah respons daripada Sultan," katanya.

Sultan Sharafuddin pada Selasa melahirkan kemurkaan baginda terhadap Khalid yang sebelum ini mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan wakil rakyat PAS itu sebagai biadap, baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.


Artikel Sebelum

Polis Tahan Kiki

Artikel Lain