suria

PM Terima Anugerah Khas Emas MBAM

Tee (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Emas MBAM kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, Khamis.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianugerahi Anugerah Khas Emas 2014 Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) atas sumbangan cemerlang beliau terhadap industri pembinaan.

Anugerah berprestij itu disampaikan kepada beliau oleh Presiden MBAM Matthew Tee di bangunan Perdana Putra di sini, Khamis.

Turut hadir, Timbalan Presiden MBAM Foo Chek Lee, Naib Presiden MBAM, Datuk Seri Sufri Mohd Zin dan mantan presiden MBAM, Kwan Foh Kwai.

Tee berkata, sektor pembinaan berkembang pesat menerusi perbelanjaan oleh kerajaan untuk membina infrastruktur negara menerusi projek seperti Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang, lebuh raya, hartanah dan lima koridor ekonomi, selaras dengan pelan pembangunan digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

"Dengan semua faktor penarik disebutkan di atas, industri pembinaan telah diberi nafas baharu sebagai enjin pertumbuhan dengan mencatat pertumbuhan angka berganda dalam tempoh beberapa tahun lepas," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata industri pembinaan telah mencapai pertumbuhan tertinggi pernah direkodkan, 18.1 peratus pada 2012, dan nilai tahunan kontrak-kontrak baharu yang diberikan telah melonjak daripada RM90 bilion kepada RM120 bilion.

Tee berkata, dengan pemberian projek-projek utama infrastruktur dan berimpak tinggi seperti LRT, Bus Rapid Transit (BRT) dan MRT kepada kontraktor tempatan, pihak industri dan pihak berkepentingan berkaitan telah diberikan peluang untuk mempertingkat kemahiran dan memperluas kepakaran mereka.

Ini akan meningkatkan kesediaan eksport industri pembinaan Malaysia di samping memacu output ekonomi domestik, katanya.

"Tidak dinafikan bahawa Najib telah meninggalkan jejak langkah menerusi sumbangan yang patut dipuji terhadap pembangunan industri pembinaan Malaysia.

"MBAM berharap industri pembangunan akan terus mencatatkan pertumbuhan sehingga menjadi industri kelas dunia di bawah kepimpinan Najib yang berwawasan," katanya.

Tee berkata, Najib sebagai perdana menteri keenam, telah mempamerkan prestasi cemerlang apabila beliau membawa Malaysia dalam perjalanan ke arah transformasi dalam konteks negara berbilang kaum dan pelbagai agama.

Penerima anugerah berprestij itu sebelum ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Anugerah Emas MBAM yang pertama pada 1984), bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan bekas presiden MBAM, Datuk Patrick Wong. 


Artikel Lain