suria

MB Selangor: PKR Pertimbang Sokong Wan Azizah - Sumber

PETALING JAYA: PKR sedang mempertimbangkan memberikan sokongan kepada presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbanding timbalan presiden Azmin Ali, bagi jawatan menteri besar Selangor.

Menurut sumber parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Adun Kajang yang baharu dipilih, yang juga isteri beliau, mengambil alih kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar yang baharu.

"Adalah pasti bahawa Khalid akan disingkirkan daripada jawatannya," kata sumber itu sambil menambah keputusan itu dibuat semasa mesyuarat biro politik, petang Rabu.

Sumber itu menambah, Anwar akan mengadakan mesyuarat tertutup dengan semua Adun, ahli Parlimen, pemimpin bahagian dan penyelaras kawasan pilihan raya pada Jumaat.

"Ini mungkin untuk memberi keselesaan kepada semua (mengenai kemungkinan peralihan kuasa)," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, keputusan muktamad akan dibuat oleh majlis kepimpinan tertinggi parti tidak lama lagi.

Walaupun berlaku perebutan kuasa di Selangor, Khalid tetap tenang berhubung kedudukannya di Selangor untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal ini.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa, pada mulanya dinamakan sebagai calon yang paling sesuai untuk menggantikan Khalid dan dilaporkan mempunyai sokongan yang kukuh daripada PAS dan DAP.

Walau bagaimanapun, Wan Azizah mengubah situasi berikutan kemenangannya di Kajang.

Artikel Berikut

Artikel Lain