suria

Charles Desak Kerajaan Selangor Dedah Dokumen Bekas Lombong Di Bestari Jaya

Charles Santiago.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencabar kerajaan Selangor untuk mendedahkan sejumlah logam berat yang ditemui di bekas lombong di Bestari Jaya atau berdepan tindakan undang-undang.

Charles Santiago (DAP - Klang) mendesak kerajaan Selangor untuk mendedahkan dokumen mengenai bekas lombong di Bestari Jaya, Kuala Selangor yang akan dipam ke dalam empangan Sungai Selangor untuk menghadapi musim kemarau yang akan datang.

Menurutnya, jika  kerajaan negeri itu gagal menyediakan dokumen tersebut dalam masa dua minggu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk memaksa mereka berbuat demikian.

"Ini merupakan permintaan terakhir saya kepada kerajaan Selangor untuk mendedahkan dokumen itu kepada umum bagi kepentingan rakyat.

"Sekiranya gagal, saya tidak cara lain melainkan mengambil tindakan undang-undang," kata Charles kepada pemberita di lobi Parliamen pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelan catuan air tidak akan dilaksanakan di Selangor untuk musim panas akan datang kerana 20 pam air telah ditempatkan di sembilan kolam untuk mengalirkan air ke empangan Sungai Selangor yang menyediakan kira-kira 60 peratus bekalan air di  Lembah Klang.

Charles berkata, berdasarkan kajian oleh pakar akademik di Jabatan Kimia dan Geologi Universiti Malaya beberapa tahun lalu, bekas lombong di Bestari Jaya didapati mengandungi logam berat di dalam air dan tanah.

"Logam berat yang disebut dalam kajian itu termasuk arsenik, kromium, tembaga, plumbum, zink dan timah.

"Jika kita minum air tersebut, kita mungkin berdepan risiko menghidap panyakit kanser, buah pinggang, paru-paru dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Selangor berulang kali menegaskan air yang diuji bebas daripada bahaya logam berat tersebut, tiada bukti untuk menyokong kenyataan berkenaan.

Artikel Lain