suria

DNA Pada Puntung Rokok Sama Dengan Pembunuh Pengasas AmBank

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Asid Deoksiribonukleik (DNA) dalam satu daripada empat puntung rokok yang dijumpai di tempat pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dibunuh, berpadanan dengan DNA tertuduh, Koong Swee Kwan.

Ketua Bahagian Jenayah DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong, 53, memberitahu mahkamah hasil itu diperoleh daripada ujian yang dilakukannya selepas menerima sampel darah tertuduh pada 2 Okt 2013.

Beliau berkata berdasarkan perbandingan yang dilakukannya, profil DNA Koong sepadan dengan ekshibit puntung rokok 'lelaki 1', dan menunjukkan ia daripada sumber yang sama.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya T.Deepa Nair dalam pemeriksaan utama bagaimana DNA Koong ditemui pada puntung rokok itu, beliau menjelaskan: "Rokok itu telahpun dihisap, berada pada mulut perokok (Koong), dan ini memindahkan air liur yang mengandungi DNA dari mulut ke puntung rokok itu."  Dr Seah berkata demikian dalam perbicaraan Koong, 45, seorang penarik kereta, yang didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di No.4 Lorong Ceylon, di sini pada 29 Julai, 2013.

Koong juga didakwa cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49, di tempat dan pada waktu sama.

Dr Seah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 memberitahu mahkamah beliau menerima empat sampel puntung rokok itu yang dimasukkan ke dalam sampul surat berasingan daripada seorang pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Inspektor Mohd Nor Abdul Wahab, pada 1 Ogos 2013.

Sementara itu, Pegawai Turus D10 Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Pemangku DSP Zuraimi Zam Zam, 45, hari ini memberitahu mahkamah bahawa beliau ada menemui empat puntung rokok di sekitar tempat makan berpayung, di dalam kawasan tokong berkenaan.

"Kedudukan puntung rokok itu terletak lebih kurang 10 meter daripada mayat (Hussain) dan enam meter daripada tokong," katanya yang tiba di lokasi kejadian pada 3.15 petang, hari kejadian.

Saksi pendakwaan ke-14 itu memaklumkan mahkamah, sebaik tiba di tempat kejadian, beliau diberi taklimat oleh pegawai penyiasat, ASP Ananthan Rajoo sebelum diarahkan membuat pemeriksaan ke atas mayat dan tempat kejadian.

"Ketika itu keadaan mangsa sudah ditutup dengan plastik hitam dan diletakkan di bawah payung," katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimana keadaan mangsa ketika itu, Zuraimi memberitahu sebaik membuka plastik hitam beliau mendapati mayat lelaki dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan darah pada baju si mati.

"Saya juga melihat terdapat kelongsong peluru berdekatan si mati dan apabila membuka baju si mati, saya dapati kesan tembakan di dada dan rusuk," katanya yang memaklumkan terdapat tujuh kelongsong peluru yang ditemuinya di tempat kejadian.

Beliau juga memaklumkan ada menemui tiga serpihan anak peluru di bawah badan mangsa sebelum menyerahkan barang kes itu kepada ASP Ananthan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung esok. 

AmBank

Artikel Lain