suria

Kidex Mampu Kurangkan 20 Hingga 30 Kesesakan Lalu Lintas Di LDP - Fadillah

Fadillah berucap pada majlis perasmian Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014, Worldskills Malaysia - Belia di Pusat Konvensyen CIDB di Kuala Lumpur pada Khamis.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Rancangan pembinaan Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) yang ditentang pihak tertentu, sebenarnya mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebanyak 20 hingga 30 peratus, apabila beroperasi nanti.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata perangkaan itu berdasarkan laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA) yang dijalankan oleh Kidex Sdn Bhd, syarikat konsesi lebuh raya itu.

"Sama ada jumlah itu cukup atau tidak, adalah risiko yang diambil pemegang konsesi. Bagi kita, kajian telah dijalankan, mereka telah memenuhi prasyarat yang diperlukan dari segi sama ada terdapat keperluan untuk Kidex dibina. 

"Ya, Kidex perlu kerana sebahagiannya untuk menangani masalah di LDP dan pengguna akan ada pilihan lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Kemahiran Malaysia di sini, Khamis.

Projek lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu akan dijalankan setelah kerajaan persekutuan berpuas hati dengan semua syarat yang dipenuhi syarikat konsesi lebuh raya itu. 

Fadillah berkata Kidex Sdn Bhd juga perlu mematuhi tiga syarat utama yang ditetapkan antaranya mempunyai keupayaan kewangan untuk membina lebuh raya.

Awal bulan ini, sekumpulan penduduk sekitar telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menyuarakan hasrat membantah pembinaan lebuh raya bertingkat Kidex.

Mereka turut mendakwa projek itu bukan hanya memusnahkan alam sekitar namun akan menyebabkan harga hartanah merudum malah turut menyifatkan Kidex bukanlah penyelesaian bijak kepada masalah lalu lintas.

Kerajaan Selangor bagaimanapun menegaskan pembinaan Kidex akan diteruskan tetapi pada masa yang sama berjanji akan mengambil kira pandangan yang dikemukakan penduduk.

Fadillah berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan khas bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan beberapa perkara mengenai pembinaan lebuh raya itu.

Katanya, antara yang akan dibincangkan dalam perjumpaan itu termasuk maklum balas orang ramai yang diperoleh daripada kaji selidik pendapat awam mengenai pembinaan Kidex.

"Kerajaan sentiasa ambil kira keperluan rakyat dan akan pertimbang segala pandangan atau bantahan mereka. Kemudian kita akan cari jalan penyelesaian bagaimana menangani bantahan itu," katanya.

Artikel Lain