suria

Lima Warga Asing Termasuk Dua Wanita Thailand Diberkas Dalam Ops Latin

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, ACP Aziman Alias (kanan) menunjukkan barang-barang yang berjaya dirampas semasa sidang media mengenai kes pecah rumah, di IPD Shah Alam, Jumaat. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Polis menahan lima warga asing termasuk dua wanita Thailand dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Lembah Klang, dalam serbuan 'Ops Latin' di sebuah kondominium di Taman Putri Cheras, Kajang dekat sini, malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias berkata dalam serbuan 11.30 malam itu, pihaknya merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan itu seperti kamera digital, televisyen, beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama serta pelbagai mata wang asing membabitkan nilai kira-kira RM60,000.

Turut dirampas ialah pelbagai peralatan digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti pengumpil dan kuku kambing, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, Jumaat.

Azisman berkata lima suspek yang ditahan ialah dua lelaki warga Columbia, seorang lelaki warga Mexico serta dua wanita warga Thailand berumur di antara 26 hingga 42 tahun dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata serbuan dilakukan hasil intipan satu pasukan khas yang ditubuhkan sebaik menerima maklumat mengenai kegiatan pecah rumah di Bukit Jelutong di sini dua minggu lepas.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mereka mensasarkan kawasan perumahan mewah seperti banglo dan semi D. Mengikut perancangan, mereka terlebih dahulu akan mengenal pasti lokasi rumah dengan menekan loceng untuk pastikan tiada penghuni sebelum bertindak mengumpil pintu hadapan.

"Jika rumah ada CCTV mereka akan keluarkan dekorder bagi memadamkan imej. Kumpulan ini sangat profesional dan boleh lakukan jenayah dengan pantas," katanya.

Azisman berkata berdasarkan siasatan awal, dua wanita terbabit dipercayai teman wanita kepada suspek terbabit dan turut bersubahat kerana berada dalam kereta mewah sewa yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan pecah rumah.

Beliau berkata siasatan juga mendapati seorang wanita dan seorang suspek Columbia tidak memiliki pasport manakala suspek lain mempunyai dokumen tetapi visa sudah tamat tempoh.

"Kita juga mengalami kesukaran ketika proses soal siasat kerana kesemua suspek dipercayai berpura-pura tidak faham bahasa Inggeris selain tidak memberi kerjasama.

"Kita bagaimanapun akan dapatkan bantuan daripada kedutaan masing-masing termasuk untuk mempastikan sama ada pasport mereka palsu atau tulen," katanya.

Azisman berkata kumpulan itu dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah sejak dua bulan lepas dan mereka kini direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata berikutan tertangkapnya kumpulan itu pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan tiga kes di bandar raya ini yang mempunyai modus operandi sama.
Ops Latin, ACP Azisman Alias

Artikel Berikut

Artikel Lain