suria

Data MH370 Akan Dikaji Semula

Hishammuddin ketika bercakap dengan pemberita, Jumaat.
KUALA LUMPUR: Radar militari dan data satelit dari negara-negara di rantau ini akan diminta sekali lagi oleh pasukan penyiasatan ketika usaha mencari penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang memasuki fasa kedua.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pasukan penyiasatan akan mengkaji semula semua data yang diterima daripada semua agensi antarabangsa, termasuk data yang diberikan oleh Inmarsat.

"Kami mahu meneliti data itu sekali lagi untuk menyelaras usaha-usaha carian dengan lebih baik di Selatan Lautan Hindi," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sebagai jawapan kepada soalan mengenai kos operasi, beliau berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan sebaik sahaja mereka tahu di mana pesawat itu berada.

"Kos yang melibatkan usaha mencari pesawat itu berbaloi pada pendapat saya.

"Pertama, carian dasar laut laut tidak pernah dilakar dalam sejarah manusia."

Beliau berkata kos bergantung kepada teknologi yang digunakan, sambil menambah tidak banyak teknologi yang ada dan ia adalah 'sangat khusus'.

"Kami sedang melihat untuk menggunakan teknologi sonar bagi pencarian di dasar laut," katanya.

Mengenai pengendalian keluarga para penumpang dan anak kapal, beliau berkata itu adalah bahagian paling sukar dalam menguruskan kejadian itu.

"Kami akan mengkaji kemungkinan menubuhkan sebuah badan yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyelia dan mendekati keluarga," katanya sambil menambah Malaysia Airlines perlu mengotakan janji mereka untuk mempayar pampasan kepada keluarga tidak lama lagi.

"Berdasarkan nasihat Inmarsat dan apa yang kita dengar daripada Australia, koridor Selatan adalah petunjuk terbaik yang kita ada.

"Petunjuk kedua yang terbaik adalah isyarat ping dan daripada lima ping, dua sudah dikenalpasti dan tiga lagi sedang dicari di bawah fasa baru," katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk menaik taraf radar utama tentera negara.

"Kita sudah menghebahkan data utama radar militari kita apabila pesawat itu hilang dan menjadi satu kepentingan untuk menaik taraf demi keselamatan negara tidak lama lagi," kata beliau sambil menambah ia hanya boleh dilakukan jika bajet diluluskan.

Kepada soalan mengenai jurang empat jam sebelum apa-apa tindakan diambil untuk mencari pesawat yang hilang, beliau berkata masa selama tujuh jam telah diambil oleh Perancis sebelum bertindak terhadap kemalangan penerbangan Air France 447.

Beliau berkata adalah penting untuk tentera udara dan penerbangan awam untuk berkerjasama dalam mengesan pesawat.

"Di seluruh dunia, penerbangan awam menghadapi masalah yang sama," katanya.
HIshammuddin Tun Hussein, data, MH370

Artikel Lain