suria

Nabi Bux Cabar PAS

Mohamed Nabi Bux menolak dakwaan beliau ahli Umno pada hari penamaan calon PRK Bukit Gelugor, Isnin,

GEORGE TOWN: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar mencabar kepemimpinan PAS supaya mengemukakan bukti jika tindakannya bertanding atas tiket Bebas melanggar Perlembagaan parti itu.

“Saya cabar pemimpin yang tuduh saya, tunjukkan bukti yang saya ada melanggar mana-mana peraturan parti setelah saya daftar sebagai calon untuk bertanding.

"Terus-terang saya katakan, jika bukan saya ahli PAS, mengapa ada tiga ahli parti itu yang sudi bantu saya membayar deposit calon tempoh hari? Malah, ada seorang ahli PAS dari Kedah sudi bantu saya buat poster untuk berkempen. Mustahil mereka (ahli PAS) mahu bantu saya jika benar saya orang Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai calon PRK Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang pada Isnin.

Pada PRK Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux akan berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon DAP, Ramkarpal Singh; Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan dan peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Pesara berusia 63 tahun itu juga kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mendakwa beliau bukan ahli parti itu.

Malah, bekas Setiausaha PAS Cawangan Kampung Banjar, Batu Caves itu terkilan apabila dituduh sebagai ahli Umno, sedangkan beliau masih ahli PAS sejak 1998.

“Jika tak mahu saya bertanding atas tiket PAS, beritahu saya secara terus- terang. Saya tidak akan berkecil hati. Tetapi janganlah kata saya bukan ahli PAS dan tuduh pula saya ahli Umno.

“Saya ada bukti, malah semasa saya ke Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri tempoh hari, saya ada bawa bersama sijil keahlian PAS. Jadi, bagaimana boleh timbul saya ahli Umno,” katanya.

Mengenai faktor yang mendorong beliau bertanding, Mohamed Nabi berkata, memperjuangkan hukum hudud yang menjadi asas undang-undang Islam di negeri ini adalah matlamat utamanya.

"Saya menyeru penduduk di Bukit Gelugor supaya mengundi saya supaya pada 25 Mei ini  hukum hudud dilaksanakan di negeri ini," katanya.

Mohamad Nabi meletakkan harapan mampu memenangi 90 peratus undi di kawasan Parlimen itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain