suria

Mahkamah Perlekeh Laporan Tolak Permintaan Anwar Untuk Lanjutan Masa

Anwar bersama peguam utamanya Sulaiman Abdullah.
PUTRAJAYA: Laporan portal berita menyatakan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lanjutan masa bagi memfail petisyen rayuan berhubung hukuman penjara lima tahunnya kerana liwat langsung tidak benar, oleh kerana mahkamah tidak ada mendengar permohonan itu. 

Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan, Aizuddin Mohd Zolkeply menjelaskan tidak ada permohonan atau pendengaran perkara itu di Mahkamah Persekutuan pada Rabu. 

"Jadi, laporan yang menyatakan Mahkamah Persekutuan telah menolak satu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak betul," katanya kepada Bernama bila dihubungi Rabu. 

Menurut satu daripada laporan portal berita, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohnan Anwar untuk memfail petisyen rayuan itu, berikutan kematian peguam utama Anwar, mendiang Karpal Singh. 

Aizuddin berkata pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan telah menerima sepucuk surat bertarikh 22 April dari Tetuan Karpal Singh & Company, memohon lanjutan masa bagi memfail petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh kerana tarikh akhir untuk berbuat demikian ialah 24 April.

"Alasan diberi ialah YB Karpal Singh meninggal dunia pada 17 April, dan peguam kedua, yang juga anaknya, Ramkarpal Singh, masih berkabung atas kematian bapanya," ujar beliau. 

Beliau berkata timbalan pendaftar telah memberitahu Zaleha Al-Hayat, yang juga peguam Anwar, menerusi panggilan telefon bahawa pihak pembela mestilah menyertakan notis usul bagi permohonan lanjutan masa. 

Aizuddin mengambil perhatian bahawa sebarang permintaan untuk lanjutan masa mestilah dibuat menerusi notis usul dan didengar di hadapan seorang hakim. 

"Timbalan pendaftar tidak akan memberi sebarang lanjutan masa, hanya dengan kebenaran menerusi sepucuk surat. 
Tambahan pula beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar notis usul atau sebarang permohonan difailkan di Mahkamah Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995," tambah beliau. 

Tentang lanjutan masa, Aizuddin menjelaskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa memberi kebenaran selepas mendengar alasan yang dihujah oleh peguam pemohon. 

Beliau menjelaskan adalah agak biasa, kadang kala peguam memfail notis lanjutan masa bagi memfail petisyen rayuan atas sebab-sebab tertentu dan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Artikel Lain