suria

Siasatan Kehilangan MH370 Tidak Termasuk Aspek Jenayah - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 oleh Pasukan Penyiasat Antarabangsa tidak termasuk aspek jenayah kerana ia di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata tujuan utama pasukan itu ialah untuk menilai, menyiasat dan menentukan punca sebenar insiden itu agar insiden yang sama tidak berulang pada masa depan.

Katanya siasatan akan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 1966 dan standard yang ditetapkan mengikut Lampiran 13-Siasatan Insiden dan Kemalangan Pesawat, Konvensyen Chicago, yang memerlukan setiap pihak menyiasat kemalangan udara secara bebas dengan kuasa penuh di negara masing-masing.

"Biro Siasatan Kemalangan yang diwujudkan sejak Disember 2011 di bawah Kementerian Pengangkutan akan bertindak sebagai sekretariat bagi pasukan siasatan ini," katanya dalam taklimat media berhubung perkembangan MH370 yang memasuki hari ke-47 pada Rabu.

Katanya Kabinet telah membincangkan dan meluluskan pelantikan sebuah pasukan penyiasatan antarabangsa untuk menyiasat kehilangan pesawat itu dan Kementerian Pengangkutan diberi tanggungjawab untuk membuat draf terma rujukan kepada pasukan itu.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata pasukan penyiasat itu akan merangkumi tiga kumpulan iaitu kumpulan kelayakan terbang, untuk meneliti isu seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem pesawat.

"Pasukan itu juga termasuk satu kumpulan operasi yang akan meneliti rakaman penerbangan, operasi dan meteorologi semasa insiden itu.

"Ketiga ialah kumpulan perubatan dan faktor manusia yang bertujuan untuk menyiasat isu-isu seperti psikologi, patologi dan faktor survival penumpang dan anak kapal," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata Malaysia juga membincangkan untuk melantik pakar-pakar dari negara-negara Asean lain mengikut blok Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Kerjasama Berkaitan Siasatan Insiden dan Kemalangan Pesawat yang ditandatangani pada 2008.

"Kami sedang dalam proses mengenal pasti anggota dan wakil yang mendapat pengiktirafan dan akan mengambil anggota bagi pasukan itu mengikut standard antarabangsa. Kami akan mengumumkan nama anggota-anggota itu minggu depan," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 12.41 tengah malam 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila didapati ia menukar laluan.

Analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Artikel Lain