suria

Tingkatkan Kepelbagaian Dalam Kalangan Pengurusan Tertinggi Syarikat Awam - Najib

Najib Razak. - Foto ROHAIZAT DARUS/THE STAR
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam kalangan pengurusan tertinggi syarikat awam.

Beliau berkata berdasarkan kajian terkini TalentCorp ke atas syarikat awam, kepelbagaian secara keseluruhannya baik dari segi gender, umur dan etnik, dengan 38 peratus pembabitan wanita, 67 peratus berusia 40 tahun ke bawah dan komposisi etnik menyamai penduduk dengan Bumiputera menguasai 66 peratus jumlah tenaga kerja.

Namun, hasil kajian yang diumumkan pada Rabu menunjukkan perlunya usaha untuk meningkatkan kepelbagaian dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi, dengan wanita kini hanya menguasai 24 peratus, dengan 18 peratus berusia 40 tahun ke bawah dan 34 peratus Bumiputera.

"Perjalanan kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020, berjalan lancar. Seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi, kita tidak boleh memenuhi objektif negara berpendapatan tinggi dengan mengorbankan keterangkuman dan kemampanan," katanya pada sesi rundingan meja bulan Kemampanan & Kepelbagaian di sini, Rabu.

Najib juga menggesa supaya lebih banyak syarikat senaraian awam Malaysia menyediakan laporan yang lebih mampan, yang meliputi maklumat mengenai komposisi tenaga kerja, selari dengan amalan terbaik pelaporan antarabangsa.

Syarikat senaraian awam kini disyaratkan mendedahkan laporan tahunan mengenai dasar kepelbagaian gender, terutama dalam konteks pemilihan anggota lembaga pengarah.

"Untuk masa hadapan, kita akan meluaskan lagi skop supaya syarikat awam menyediakan dan mendedahkan dasar-dasar kepelbagaian mereka, mencakupi gender, etnik dan umur anggota lembaga pengarah dan pengurusan," katanya.

Najib berkata organisasi utama Malaysia, yang melaksanakan kepimpinan mampan dan terangkum, akan diperakui dan diberikan ganjaran oleh pasaran kewangan dan pelabur.

Pada asas global, syarikat yang melaksanakannya berjaya menarik dan mengekalkan pelaburan daripada sumber yang lebih luas.

"Di seluruh dunia, kekayaan negara dan dana pencen, mempelopori agenda kemampanan dengan memilih lebih banyak dan membuat pelaburan yang lebih besar dalam syarikat dan instrumen yang lebih mampan memandangkan pelaburan ini bukan sahaja meluaskan kepelbagaian, malah menyediakan pembiayaan selain pulangan sosial," kata Najib.

Artikel Lain