suria

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 Dibentang Isnin

Jabatan Audit Negara.

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri tahun 2013 Siri 1 akan dibentang di Parlimen pada Isnin.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada Ahad, dalam laporan itu sebanyak 54 pengauditan prestasi dan 19 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, alam sekitar dan pengurusan syarikat," demikian menurut kenyataan itu.

Jabatan Audit Negara turut mengemukakan 109 syor kepada kerajaan persekutuan, 24 syor kepada badan berkanun persekutuan, 170 syor kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 Siri 1 yang memberikan ulasan/tindakan terkini daripada ketua perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam laman sesawang Jabatan Audit Negara di  http://www.audit.gov.my mulai Isnin.

Sebarang pertanyaan lanjut atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Bermula 2013, Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk setiap tahun akan dibentang dalam tiga siri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain