suria

Rayuan Warga Iran Supaya Tidak Dihantar Ke Thailand Didengar 30 Jun

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 30 Jun sebagai tarikh untuk mendengar rayuan seorang rakyat Iran, yang dikehendaki kerajaan Thailand berhubung letupan bom di Bangkok pada 2012, agar dia dibebaskan.

Panel lima anggota, yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus, menangguhkan perkara itu ke tarikh berkenaan untuk membolehkan peguam yang mewakili Sedaghatzadeh Masoud, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendapatkan alasan penghakiman Mahkamah Sesyen mengenai perintah ekstradisi yang dikeluarkan terhadap Masoud.

Pada 25 Jun 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengeluarkan perintah agar Masoud, 33, diserah kepada Thailand.

Berikutan itu, lelaki berkenaan memfailkan writ habeas corpus agar dia dibebaskan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Sept 2012.

Masoud, yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu menolak writ habeas corpusnya.

Dalam writ habeas corpusnya, Masoud menamakan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, (kini Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan), pengarah penjara Sungai Buloh dan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam prosiding pada Isnin, Muhammad Shafee memohon Mahkamah Persekutuan mengeluarkan perintah kepada Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu S.M. Komathy Suppiah (kini pesuruhjaya kehakiman) supaya memberi alasan penghakiman bertulisnya.

Bagaimanapun Raus berkata mahkamah itu tidak akan mengeluarkan sebarang perintah berhubung permohonan tersebut dengan memberi alasan perkara itu perlu diurus secara pentadbiran melalui pendaftar mahkamah.

Masoud ditahan mengikut Akta Imigresen pada 15 Feb 15 2012 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang sejurus tiba dari Bangkok dalam transit ke Iran.

Rakyat Iran itu ditahan atas permintaan Bangkok kerana pihak berkuasa Thailand mengesyaki dia mempunyai kaitan dengan dua rakyat Iran yang ditangkap berikutan satu letupan di sebuah rumah di Bangkok pada 14 Feb 2012.

Asas permohonan ekstradisi itu ialah Masoud adalah seorang penjenayah yang sedang melarikan diri dan dikehendaki menghadapi perbicaraan di sebuah mahkamah Thailand seperti yang dinyatakan dalam waran tangkap Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok pada 15 Feb 2012.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan Abazafree Abas hadir bagi pihak responden.

Artikel Lain