suria

Kemenangan BN Di Balingian Beri Suntikan Moral Positif - Adenan

Adenan Satem (tengah) ketika sidang media mengenai pasca pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Balingian di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Isnin.
 Turut hadir Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi (kiri).
- fotoBERNAMA
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Balingian Sabtu lepas merupakan suntikan moral yang positif bagi BN di Sarawak.

Beliau berkata walaupun ada 70 lagi kawasan pilihan raya di Sarawak tetapi kemenangan di Balingian adalah permulaan yang positif bagi BN menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Adenan berkata pilihan raya kecil Balingian yang baru berakhir menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas di semua saluran mengundi termasuk undi pos.

"Hakikatnya PKR cuma memperoleh dua daripada 170 undi pos sementara di setiap saluran mengundi, PKR mendapat kurang 100 undi," kata Adenan pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini Isnin.

Mengenai dakwaan PKR bahawa parti itu telah menambah undi daripada 817 undi pada pilihan raya negeri 2011 kepada 1,283 undi pada pilihan raya kecil itu, Adenan berkata sebenarnya jumlah undi yang diperoleh pembangkang telah merosot.

"Pada pilihan raya negeri 2011, BN mendapat 6,210 undi, calon Bebas memperoleh 1,056 undi dan PKR cuma mendapat 871 undi. 

"Jumlah undi yang diperoleh pembangkang (PKR dan calon Bebas) ialah 1,927 tetapi oleh kerana pilihan raya kecil Balingian merupakan pertandingan satu lawan satu, PKR cuma mendapat 1,283 undi dan ini menunjukkan jumlah undi pembangkang merosot," kata Adenan.

Adenan membidas dakwaan PKR bahawa kehadiran mereka di Balingian mendorong kerajaan memberi projek kepada penduduk di kawasan itu.

"Biar saya jelaskan bahawa kerajaan telah melaksanakan projek untuk faedah rakyat di Balingian sejak 1963 seperti sistem jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah, hospital dan klinik dan juga kemudahan lain malah sebelum mereka mendengar mengenai PKR," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan akan terus membawa pembangunan di Balingian tanpa mengambil kira kehadiran PKR di kawasan itu.
Adenan Satem, PRK Balingian, BN

Artikel Lain