suria

Pusat Selenggara Komponen Pesawat Mampu Tingkat Pendapatan Penduduk - Abdul Khalid

Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Pemilihan negeri Selangor sebagai pusat penyelengaraan pertama komponen kapal terbang syarikat antarabangsa SR Technics mampu meningkatkan pendapatan per kapita penduduk, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata pemilihan Selangor sebagai pusat operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) meliputi pasaran Asia Tenggara selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Selangor sebuah negeri berpendapatan tinggi serta melahirkan generasi muda yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang tersebut.

"Ini adalah peluang yang perlu diambil golongan muda kerana pendapatan mekanik biasa dengan mekanik membaiki komponen kapal terbang jauh berbeza, jadi kita mahu mereka bijak mengambil peluang ini supaya pendapatan per kapita individu dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kemudahan Pembaikan Komponen SR Technics di sini Isnin.

Turut hadir Duta Besar Switzerland, Dr Rolf Lenz; Ketua Pegawai Eksekutif SR Technics, Andre Wall; dan Pengurus Besar SR Technics Malaysia Sdn Bhd, Heinz Freimann.

Pusat penyelenggaraan, yang mula beroperasi pada hujung Januari, kini mempunyai kekuatan 110 kakitangan termasuk 77 juruteknik, dan 94 peratus daripadanya adalah rakyat tempatan.

Sementara itu, Freimann berkata pelaburan syarikat itu dalam latihan adalah penting berikutan mereka menyediakan lebih 70,000 jam latihan sejak beberapa tahun ini kepada juruteknik. 

"Sesiapa yang tahu mengenai perniagaan kami akan tahu bahawa projek dengan saiz ini adalah usaha yang besar. Kami tidak bercakap mengenai mewujudkan pengeluaran bagi satu produk tetapi 1,200 komponen.

"Menjelang pertengahan 2015, kami akan mempunyai keupayaan bagi 1,200 pembaikan komponen, meningkat daripada 300 yang sedang kami usahakan pada akhir Jun ini dan setiap satunya mempunyai prosesnya sendiri, bahan, alat dan peralatan ujian, infrastruktur dan pengetahuan teknikal kepakaran serta keperluan kemahiran," katanya.

SR Technics Malaysia Sdn Bhd, yang merupakan cawangan syarikat SR Technics berpangkalan di Switzerland, menawarkan khidmat teknikal dalam sektor penerbangan awam meliputi penyelenggaraan dan pengurusan pesawat, enjin serta komponen. 

Pusat penyelenggaraan seluas 15,000 kaki persegi di Seksyen 15 di sini beroperasi mengikut piawaian dan kelulusan daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Artikel Lain