suria

Awang Adek Duta Baharu Malaysia Ke AS

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Duta Malaysia ke Amerika, Awang Adek pada Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengadap Bakal Ketua Perwakilan Malaysia ke Luar Negara di Istana Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin telah dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. 

Menurut Wisma Putra, Awang Adek, 59, menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada Isnin.
 
Awang Adek berkelulusan ijazah sarjana muda dalam matematik dan ekonomi dari Drew University Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pelajaran ke Wharton School, University of Pennsylvania di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). 

Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 hingga 1985. 

Beliau kemudian menyertai Bank Negara Malaysia pada 1985 hingga 2001 dengan jawatan terakhir sebagai penolong gabenor. 

Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau bertanding kerusi Parlimen Bachok dan selepas memenangi kerusi itu telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hingga 2006. 

Seterusnya, beliau dilantik sebagai timbalan Menteri Kewangan, yang dipegangnya hingga April 2013. 

Pada 9 April 2009 beliau dilantik sebagai senator, dan kemudian dilantik semula untuk penggal kedua pada 9 April 2012. 

Awang Adek, duta, AS

Artikel Lain