suria

Kementerian Luar Siasat Kesahihan Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Serangan Taliban

Polis Afghanistan memeriksa bahagian pintu pagar yang musnah selepas sebuah rumah tamu di Kabul diserang kumpulan militan Taliban Jumaat lepas. -fotoAFP
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri sedang berusaha mendapatkan pengesahan sama ada terdapat rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam serangan kumpulan Taliban terhadap sebuah rumah tamu di Kabul Jumaat lepas, kata jurucakapnya pada Ahad. 

Beliau memberitahu Bernama bahawa kedutaan Malaysia di New Delhi bekerjasama dengan Kedutaan Afghanistan di ibu negara India itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang perkara tersebut.

"Ketika ini, kami tidak dapat memberi maklumat lanjut. Pihak kedutaan sedang cuba menghubungi Kedutaan Afghanistan dan Suruhanjaya Tinggi Britain di New Delhi, tetapi tidak berhasil. 

"Sebaik sahaja kami mendapat penjelasan dan maklumat yang diperlukan, kami akan maklumkan," katanya.

Tembakan dan letupan menggegarkan Kabul pada Jumaat apabila militan Taliban menyerang sebuah rumah tamu yang digunakan kumpulan bantuan yang berpejabat di Amerika, keganasan terbaru yang melanda bandar raya itu menjelang pemilihan presiden hujung minggu ini.

Kepungan terhadap rumah tamu itu berakhir selepas pasukan keselamatan Afghanistan membunuh lelaki terakhir bersenjata yang bersembunyi di dalamnya, kata Qadam Shah Shaheem, pemerintah 111 Military Corps Kabul, yang dipetik sebagai memberitahu agensi berita Reuters.

Seorang remaja perempuan yang bekerja di dalam rumah tamu itu adalah antara yang terbunuh, selain lima penyerang, kata pemerintah itu.
Ketua polis Kabul Mohammad Zaher berkata ketika serangan itu bermula pada kira-kira pukul 4 petang (7.30 malam di Malaysia), terdapat enam rakyat asing di dalam bangunan berkenaan.

Zaher memberitahu agensi berita AFP bahawa mereka terdiri daripada dua rakyat Amerika, seorang rakyat Peru, seorang rakyat Malaysia, seorang rakyat Australia dan seorang pengawal yang beliau sifatkan sebagai berbangsa 'Afrika'.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan tentang kerakyatan mereka.
Taliban, Kabul, Qadam Shah Shaheem

Artikel Lain