suria

PRK Kajang: Chew Mampu Beri Khidmat Terbaik

Chew Mei Fun.

KAJANG: Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 23 Mac ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Chew yang merupakan seorang pemimpin berprinsip, berintergriti dan sentiasa berpegang kepada janji, sudah pasti tidak akan menghampakan rakyat dan pucuk pimpinan parti.

"Pucuk pimpinan tertinggi parti juga akan memastikan beliau dapat membawa suara rakyat Kajang ke DUN Selangor untuk dibincang dan diselesaikan bersama," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Wee Ka Siong, Chew yang juga Naib Presiden MCA serta Setiausaha Agung Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Liow berkata MCA tidak bermain politik dalam PRK berkenaan sepertimana yang dilakukan Pakatan Rakyat (PR) tetapi ikhlas menyelesaikan isu rakyat di kawasan itu.

"Sepanjang mengikuti program lawatan dan berinteraksi dengan penduduk baru-baru ini, kami menerima aduan bahawa banyak masalah mereka masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini.

"Tidak seperti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang tidak henti-henti bermain politik demi mencapai agenda beliau dan tidak berkhidmat kepada rakyat... saya pasti penduduk Kajang sudah serik dengan helah beliau," kata Liow.

PRK yang ditetapkan pada 23 Mac itu menyaksikan Chew bakal berdepan dengan Anwar, selain calon bebas, antaranya bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Ia diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Dalam isu lain, Liow berkata pihaknya bersetuju bahawa isi kandungan perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor, perlu didedahkan segera kepada umum.

"Perjanjian itu seharusnya ditandatangani lebih awal iaitu pada tahun 2008 namun kerajaan negeri Selangor berdolak-dalih selama enam tahun untuk mempolitikkan isu ini sehinggakan masalah air yang dihadapi penduduk diabaikan.

"Sekarang perjanjian itu telah ditandatangani dan kami yakin rakyat Selangor juga mahu tahu mengenai isi kandungan perjanjian itu supaya dapat memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, oleh itu ia (MoU) patut didedahkan," katanya.

Rabu lepas, kerajaan Persekutuan dan Selangor mencapai persetujuan mengenai syarat yang membolehkan pelaksanaan projek rawatan air Langat 2 dan pengambilalihan aset air oleh kerajaan negeri.

Di bawah MoU itu, kerajaan Persekutuan bersetuju kerajaan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash), dengan bayaran pampasan RM9.65 bilion. BERNAMA

Chew, PRK Kajang, Liow, MCA, Anwar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain