suria

Dua Beradik Maut Dalam Nahas Di Tapah

IPOH: Dua beradik terbunuh dalam kemalangan di KM 348.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah awal pagi Khamis.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, Mohd Nadzrul Khairi Ishak, 34, dan abangnya Muhamad Nadzim, 39, dari Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Mohd Nadzrul Khairi dipercayai melanggar sebuah kenderaan lalu hingga hilang kawalan sebelum kenderaan mereka dilanggar pula kereta Proton Satria GTI.

"Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai melanggar satu kenderaan yang tidak diketahui nombor pendaftaran dan jenisnya kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian.

"Akibat daripada kemalangan itu, kenderaan pacuan empat roda tersebut berpusing dan melintang di lorong kanan lebuh raya mengakibatkan kereta Satria GTI itu yang datang dari arah yang sama melanggar sisi kiri Ford Ranger tersebut," katanya ketika dihubungi. Som Sak berkata pemandu Satria GTI itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat adik beradik berkenaan dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain