suria

Kualiti Udara Di Shah Alam, Kuala Selangor Dan Pelabuhan Klang Beransur Pulih

Keadaan jerebu di sekitar Pelabuhan Klang bertambah baik berikutan hujan turun diawal pagi ketika tinjauan fotoBernama di kawasan rehat Tanjung Harapan, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Shah Alam, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang beransur pulih berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan merekodkan tahap sederhana setakat pukul 5 petang Selasa.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, Pelabuhan Klang merekodkan IPU 95, Kuala Selangor pada 87 dan Shah Alam 96.

Sementara itu, empat kawasan masih merekodkan tahap IPU tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan (114), Banting, Selangor (114), Petaling Jaya (101), dan Batu Muda, Kuala Lumpur (104).

Setakat pukul 5 petang ini, 19 kawasan merekodkan tahap IPU baik dan 27 kawasan mencatatkan IPU sederhana.

Antara kawasan yang merekodkan IPU tahap baik ialah Langkawi, Kedah (47), Jerantut, Pahang (45), Kota Kinabalu, Sabah (42), Miri, Sarawak (28) dan Paka, Terengganu (33).

Kawasan yang mencatatkan IPU tahap sederhana pula ialah Seri Manjung, Perak (63), Kangar, Perlis (59), Putrajaya (80) dan Bukit Rambai, Melaka (85).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my kendalian Jabatan Alam Sekitar untuk mengetahui tahap IPU di kawasan mereka.

jerebu, ipu, shah alam, pelabuhan klang

Artikel Lain