suria

PBS Yang Ditambah Baik Lebih Mesra Guru - Idris Jusoh

Idris Jusoh

CYBERJAYA: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambah baik lebih mesra guru.

Katanya sistem baharu yang akan diumum pada 29 Mac ini tidak akan membebankan guru, sekali gus membolehkan mereka lebih fokus kepada pengajaran.

"Kita sedang mengambil input dan mengemas kini apa yang akan dilaksana kementerian," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Perkongsian Khas bersama bekas-bekas naib canselor universiti di negara ini, di sini Selasa.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan akan mengumumkan secara terperinci mengenai PBS yang ditambah baik itu.

Kementerian itu sebelum ini menerima pelbagai aduan daripada warga pendidik mengenai PBS menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya bagi menambah baik sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Idris berkata banyak pihak tidak memahami PBS menyebabkan pelbagai perkara dibangkitkan.

"PBS adalah satu bentuk pentaksiran yang lebih menyeluruh yang bukan hanya mengambil kira peperiksaan, tapi juga mengambil kira psikometrik pelajar dan juga perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial pelajar.

"Komponen peperiksaan hanya ada satu sahaja dalam PBS. Tetapi ada juga psikometrik untuk kita mengukur potensi kanak-kanak," katanya.

Mengulas perkara lain, Idris berkata terpulang kepada kebijaksanaan pengetua dan guru besar untuk mengambil tindakan sewajarnya jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras sangat tidak sihat iaitu melebihi 200.

"Kalau jerebu biasanya guru besar lebih mengetahui untuk mereka mengambil sebarang keputusan supaya tidak mengadakan aktiviti luar. Macam dulu, kita bagi kebijaksanaan guru besar untuk membuat keputusan," katanya.

Tahun lepas, Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dilapor berkata kementerian bersetuju agar sekolah yang terlibat jerebu boleh ditutup jika bacaan IPU melebihi 250, namun perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada kementerian.

Abd Ghafar berkata sekiranya bacaan IPU melebihi 300, maka sekolah dalam kawasan berkenaan wajib ditutup tanpa perlu memohon kebenaran daripada kementerian.

Beberapa kawasan di Lembah Klang kini dilapor mencatat IPU tidak sihat susulan jerebu yang kembali melanda negara.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

pbs, sistem, guru, datuk seri idris jusoh

Artikel Lain