suria

Perjanjian Air Demi Kepentingan Rakyat, Tidak Perlu Dipersoal - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan pusat berkaitan penstrukturan semula industri air pada 26 Feb lepas, tidak harus dipersoal mana-mana pihak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebarang usaha yang dilakukan demi menjaga kepentingan rakyat juga tidak seharusnya dicampur adukkan dengan masalah dalaman parti politik.

"Saya fikir apa yang dilakukan (Menteri Besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim)adalah sesuatu yang terbaik untuk rakyat negeri Selangor dan Lembah Klang.

"Kalau dia (Rafizi Ramli) tak setuju, itu soal Rafizi atau kepimpinan PKR kepada Khalid, tidak ada kena mengena dengan apa yang telah diputuskan oleh kerajaan pusat," katanya selepas sambutan Hari Antidadah 2014 peringkat kebangsaan di Pejabat Pendidikan Hulu Langat, Kajang dekat sini, Selasa.

Beliau mengulas tindakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang mempersoalkan kebijaksanaan Khalid menandatangani MoU itu dengan mengatakan perjanjian itu adalah berat sebelah dan lebih menyebelahi kerajaan persekutuan dalam beberapa aspek.

Pada Rabu, kerajaan Persekutuan dan Selangor akhirnya menemui titik permulaan untuk bekerjasama mengenai syarat-syarat yang akan memudahkan pelaksanaan projek loji rawatan air Langat 2 dan pengambilalihan aset air di negeri itu.

Dalam perjanjian itu, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk pengambilalihan daripada empat syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) dengan pampasan RM9.65 bilion.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Zuraidah Mohamed dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial Tan Sri Robert Phang.

Pada sambutan yang bertemakan "AADK Prihatin, Rakyat Sejahtera" itu, Ahmad Zahid turut merasmikan logo baharu AADK dan melancarkan perkhidmatan terbaharu AADK iaitu Klinik Bergerak Cure & Care 1Malaysia.

Perjanjian Air, Selangor, Ahmad Zahid

Artikel Lain