suria

Laluan BRT Sunway Yang Pertama Di Malaysia Dilancar Jun 2015

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar (kanan) melihat peta Projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway selepas sidang media di Petaling Jaya, Selasa. Turut kelihatan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam (dua, kiri) dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Lebih 500,000 orang di Bandar Sunway dan USJ Subang Jaya akan mendapat manfaat daripada projek Bas Rapid Transit (BRT) yang pertama di negara ini yang dijangka akan memulakan operasi dari bulan Jun 2015.

Dijangka menyediakan perkhidmatan yang amat diperlukan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, laluan BRT Sunway akan menghubungkan kepada dua perkhidmatan pengangkutan awam yang utama iaitu rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) dan perkhidmatan komuter KTM.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata projek BRT itu melambangkan satu kejayaan bersejarah bagi Malaysia.

"Ia akan menjadi contoh ikonik bagi semua projek BRT akan datang. Dengan 32 peratus telah siap, projek ini berjalan mengikut jadual dan saya sangat gembira dengan kemajuan laluan Sunway," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek, Selasa.

Pengerusi dan Pengasas Sunway Group Tan Sri Jeffrey Cheah berkata laluan BRT Sunway akan menyambungkan pengguna ke stesen KTM Setia Jaya dan stesen LRT tambahan Kelana Jaya di USJ 6 pada masa depan.

"BRT, akan mempunyai laluan khusus dan bas elektrik mesra alam," katanya.

Terletak di trek dengan panjang sejauh 5.5km, laluan BRT Sunway akan mempunyai tujuh stesen dengan melalui lokasi-lokasi utama di Sunway dan Subang Jaya, bersama-sama dengan kemudahan letak kereta dengan kapasiti 1,200 berhampiran kampus Universiti Monash.

Perkhidmatan yang akan beroperasi selama 18 jam setiap hari dengan 15 buah bas ini dijangka akan mempunyai bilangan penumpang seramai 2,400 orang setiap jam dengan kekerapan ketibaan bas setiap lima minit.

Projek BRT Sunway bernilai RM549 juta ini adalah inisiatif sektor awam-swasta antara Syarikat Prasarana Negara Bhd dan Kumpulan Sunway.

Turut hadir ialah Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohamad Nur Ismal Kamal.

brt sunway, sunway, brt, prasarana, bas

Artikel Lain