suria

Dua Lori Seludup 2,000 Liter Diesel Bersubsidi Ditahan

Seorang pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Seberang Perai Tengah di sini menyita pam diesel di sebuah stesen minyak Bandar Sunway Seberang Jaya di Butterwoth, Selasa. Pam diesel berkenaan disita setelah seorang pemandu lori cuba menyeludup minyak diesel berkenaan ke dalam tangki yang disembunyikan di dalam lori berkenaan.- fotoBERNAMA

BUTTERWORTH: Dua lori ditahan ketika mengisi diesel bersubsidi dipercayai untuk diseludup, dalam operasi bahagian penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Seberang Perai Tengah di sini Selasa.

Dalam operasi pada pukul 1.45 tengah hari di sebuah stesen minyak di Bandar Seberang Jaya di sini, pihak penguatkuasa turut merampas 2,000 liter diesel bernilai RM4,200 dan dua lori empat tan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK Seberang Perai Tengah Md Nasir Mohamed berkata bagaimanapun dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu berjaya melarikan diri.

"Ketika kami sampai di stesen minyak itu, dua lelaki sedang mengisi diesel ke dalam dua lori empat tan yang bertutup dengan kanvas di belakang," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lori itu, pihaknya mendapati sindiket terbabit mengepam minyak diesel dalam tangki lori dan sebuah motor pula dipasang untuk mengepam minyak berkenaan ke dalam dua tangki tambahan di dalam lori berkenaan.

Md Nasir berkata setiap tangki di dalam lori itu boleh mengisi sehingga 1,000 liter diesel dan pihaknya percaya kedua-dua lori yang ditahan itu daripada sindiket sama.

"Berdasarkan siasatan awal, kesemua diesel itu dikumpul sebelum dibawa ke sempadan oleh pemborong dan sindiket berkenaan boleh mengaut keuntungan sehingga RM400 bagi setiap tangki berkenaan.

"Sindiket itu juga dipercayai menjual diesel berkenaan kepada pihak industri dengan harga yang lebih murah berbanding harga yang ditetapkan untuk industri iaitu RM2.70 seliter," katanya.

lori, seludup, diesel, subsidi, butterworth

Artikel Lain