suria

Pahang Kawal Ketat Lokasi Fosil Dinosaur

Adnan Yaakob.

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengawal ketat kawasan yang dikatakan tapak penemuan fosil dinosaur spesis Spinosaurid di pedalaman negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kawasan itu perlu dikawal bagi memastikan tapak itu dan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Malaya tidak diganggu.

"Kita akan lihat keluasan kawasan tapak berkenaan, jika kecil, mungkin kita akan buat pagar, tapi kalau besar hingga meliputi tiga daerah, kita akan buat sistem rondaan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan Projek Pemodenan Lesen Perniagaan peringkat negeri di Kompleks Yayasan Pahang di sini, Isnin.

Adnan dalam pada itu berkata, penemuan fosil dinasour spesis karnivor itu yang memakan ikan turut memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri ini.

"Mungkin juga mitos Naga Chini yang disebar turun temurun oleh rakyat negeri ini ada kena mengena dengan penemuan fosil dinasour itu," katanya.

Awal bulan lepas, kumpulan penyelidik Universiti Malaya diketuai oleh Profesor Madya Dr Masatoshi Sone telah menjumpai fosil gigi dinosaur sepanjang 23mm di sebuah lokasi yang dirahsikan di pedalaman negeri ini.

Fosil itu, yang dipercayai dari era lewat Mesozoic, berkemungkinan besar wujud dari tempoh zaman Cretaceous iaitu antara 65 juta dan 145.5 juta tahun lepas di negeri ini.

adnan yaakob, dinosaur, fosil

Artikel Lain