suria

Khairy Pertahan BR1M

Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempertahankan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau tidak bersetuju dengan skim tersebut.

Dalam satu siri tweet pada Isnin, Khairy berkata BR1M telah diperkenalkan untuk membantu orang-orang yang memerlukan dan juga untuk mengurangkan subsidi.

"Beban kewangan negara tidak meningkat dengan BR1M sebab ada penjimatan dari pengurangan polisi subsidi pukal," katanya.

"Sistem subsidi pukal di mana semua (tak kira pendapatan) menikmati petrol yang disubsidi perlu perbelanjaan kerajaan yang lebih berbanding BR1M.

"BR1M adalah polisi 'targeted assistance' yang akan ganti 'blanket subsidies'. Kerajaan juga sedang mengkaji mekanisme lain, seperti kad bahan api, dan lain-lain ," katanya.

Tahun ini, seramai tujuh juta orang menerima BR1M berjumlah RM4.5 bilion.

Isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 layak menerima tunai RM650 dan skim insurans Takaful RM50, manakala mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 diberi tunai RM450 dan skim insurans RM50.

Bagi individu berpendapatan kurang daripada RM3,000 tanpa tanggungan layak menerima RM300.

Dr Mahathir, dalam blognya chedet.cc pada Ahad berkata BR1M adalah terlalu mahal bagi kerajaan, yang menghadapi defisit dan memikul hutang yang banyak.

Beliau berkata kerajaan akan menanggung kos RM8.4 bilion jika BR1M ditingkatkan kepada RM1,200 bagi setiap isi rumah.

"Ini adalah wang yang banyak. Namun, masih terdapat ramai orang yang sangat miskin di negara ini. Adakah kita benar-benar memerlukan BR1M?" Mahathir menulis sambil menambah walaupun tanpa BR1M , masih terdapat satu sokongan yang baik oleh rakyat kepada Kerajaan.

Pada 22 Februari, Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak berkata kuantum BR1M itu akan meningkat kepada RM1,200 dalam tempoh lima tahun akan datang dengan rasionalisasi subsidi pukal.

BR1M, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain