suria

Kematian Remaja Terkena Sinki Adalah Mati Mengejut - Polis

ALOR SETAR: Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang remaja lelaki yang dipercayai akibat terkena sinki pecah di sebuah hotel dekat sini sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata hasil bedah siasat mendapati Tan Ming Shen, 14, mati akibat pendarahan yang berpunca daripada kecederaan vascular pada paha kirinya.

Beliau berkata Tan serta rakan-rakannya mendaftar masuk ke hotel di Tandop itu pada pukul 8.15 malam pada Jumaat lalu beberapa jam sebelum insiden itu berlaku pada 12.50 pagi Sabtu.

Akhbar hari ini melaporkan Tan mengalami pendarahan hingga menyebabkan kematiannya selepas tercedera di bahagian paha akibat terkena sinki pecah di sebuah bilik hotel tersebut.

Sementara itu ibu saudara Tan yang enggan dikenali berkata sehingga kini mereka masih belum mendapat sebarang penjelasan daripada pihak hotel mengenai insiden itu.

"Ada beberapa orang daripada hotel datang (petang Sabtu), mereka janji untuk datang semula malam Sabtu untuk jumpa dengan ibu bapa (Tan), tapi mereka tak datang. Kami masih tunggu untuk dengar penjelasan mereka," katanya.

Beliau berkata mereka akan mendapatkan penjelasan daripada pihak hotel terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain