suria

Empat Sahabat Pecah Masuk Bengkel Ditahan

TANGKAK: Sekumpulan empat sekawan yang memecah masuk bengkel kereta dan melarikan pelbagai peralatan termasuk 50 botol minyak pelincir bernilai RM46,000, ditahan dalam Ops Cantas di Jalan Payamas di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ledang Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata mereka diberkas di hadapan sebuah kedai di jalan itu pada kira-kira 6 petang.

Hasil siasatan, katanya polis menemui semula beberapa barang curi iaitu empat botol minyak hitam, tiga buah bateri berjenama, tiga pembuka skru angin, satu set penebuk lubang dan satu set alat pengimbas digital untuk mengesan kerosakan kenderaan.

"Kita percaya barangan lain yang dilarikan dari bengkel tersebut yang dipecah masuk pada 7 Februari lalu sudah dijual," katanya dalam sidang akhbar di sini Ahad.

Polis masih menyiasat bagi mengesan pihak yang membeli barangan berkenaan, katanya.

Mohamad Salleh berkata tiga daripada suspek berasal dari Tangkak manakala seorang dari Hulu Beranang, Negeri Sembilan.

Suspek berusia 30 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan kes curi, suspek 45 tahun mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan dikehendaki polis, suspek 43 tahun mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan curi motosikal di Kajang, Selangor manakala suspek 26 tahun mempunyai satu rekod jenayah, katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah dan kesemuanya direman sehingga 20 Feb untuk siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain